PETALING JAYA – Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan ke atas pelakon KL Gangster, Mohamad Soffi Jikan selepas dia didapati bersalah atas kesalahan dadah Februari tahun lalu.
Majistret Mohamad Ikhwan Mohd. Nasir menjatuhkan hukuman itu selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir pembelaan.
Pelakon itu dijatuhkan hukuman mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Pelakon berusia 49 tahun yang diwakili Peguam Datuk Haniff Hassan kemudian merayu agar diberikan penangguhan hukuman tersebut.
Majistret Mohamad Ikhwan kemudian membenarkan pelaksanaan penangguhan itu dengan syarat wang jaminan dinaikkan kepada RM9,000 daripada RM3,000 sebelum ini.
Pada 13 Februari tahun lalu, Soffi mengaku tidak bersalah memasukkan dadah jenis THC (11 – nor delta-9 tetra hydrocannabinol -9) ke dalam badannya.
Kesalahan itu didakwa dilakukannya di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya, jam 11.15 malam pada 6 Februari 2018. – K! ONLINE
