KUALA LUMPUR – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya berkata, siasatan ke atas bekas ketua menteri Sarawak, Taib Mahmud yang sejak sekian lama dikaitkan dengan dakwaan salah guna kuasa dan rasuah masih berjalan.
āKita tidak boleh memberi komen mengenai siasatan yang masih berjalan,ā katanya kepada pemberita di pinggir satu bengkel mengenai hak milik bermanfaat di sini hari ini.
Katanya beliau juga belum bertemu ahli Parlimen Bandar Kuching, Kelvin Yii yang sebelum ini berjanji mahu bertemu SPRM untuk membincangkan siasatan ke atas bekas ketua menteri Sarawak itu yang mengetuai kerajaan negeri dari 1981 hingga 2014.
Latheefa berkata, walaupun ketua persuruhjaya SPRM tidak akan bertemu dengan pengadu secara langsung, tetapi beliau memberi jaminan agensi itu akan memproses maklumat yang diterima.
āJika ada aduan, jika orang ramai ada maklumat atau aduan, mereka sangat dialu-alukan untuk datang atau menghantarnya kepada kami. Kami akan menghantarnya ke jabatan siasatan.ā
Dalam pada itu, beliau menggesa ahli Parlimen supaya menyelaraskan undang-undang berkaitan hak milik bermanfaat dan meletakkannya di bawah SPRM.
Beliau berkata, undang-undang hak milik bermanfaat diperlukan kerana banyak pihak menggunakan proksi bagi mengelakkan siasatan rasuah.
āKita ada beberapa kes, bila kita siasat, kita dapati pemilik kenderaan tertentu misalnya adalah pemandu, sedangkan kita tahu beliau tidak mampu memilikinya.
āKita perlu pastikan undang-undang yang ada mencukupi untuk menyokong siasatan yang dijalankan. Jika undang-undang itu diletakkan di bawah SPRM, penguatkuasaannya akan menjadi lebih berkesan.
āKita ada undang-undang (di bawah Akta Syarikat dan Akta Anti Pengubahan Wang), tetapi ia tidak diletakkan di bawah SPRM.
āKita ada pelbagai akta yang membolehkan pelbagai agensi memastikan wujudnya pendaftaran, misalnya Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
āMereka harus pastikan pendaftaran itu dikemas kini, dan jika gagal akan didenda dan sebagainya.
āSama ada ia mencukupi atau kita hanya perlu tambah rujukan kepada akta SPRM atau kita perlukan peruntukan baru, kita perlu lihat (keadaan).” – FMT