PETALING JAYA – Pemandu kelainan upaya perkhidmatan e-hailing mengadu berdepan kesukaran dengan keputusan kerajaan mewajibkan mereka mendapatkan lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV).
Harvinder Kaur, orang kelainan upaya (OKU) yang mendaftar sebagai pemandu e-hailing berkata syarat PSV menjadi halangan bagi individu seperti beliau untuk mencari pendapatan.
āApabila mereka mengumumkan OKU boleh memohon menyertai perkhidmatan e-hailing, ia adalah berita terbaik bagi kami. Ia bermakna ada satu lagi cara untuk memperoleh pendapatan kerana sukar untuk mendapat kerja dalam dunia korporat.
āTetapi, peraturan PSV menjadi halangan untuk mami terus memandu,ā kata bekas aktivis itu kepada FMT.
Pada 14 Jun lalu, Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook mengumumkan pengusaha e-hailing bersetuju mengecuali bayaran RM320 untuk lesen PSV bagi pemandu OKU sebagai sebahagian program tanggungjawab sosial korporat mereka.
Pemandu OKU diminta mula memohon pada 27 Jun lalu bagi memastikan mereka mampu melengkapkan latihan memandu dalam talian selama 6 jam untuk membolehkan mereka menduduki ujian PSV hari ini.
Harvinder, bekas pesakit polio dan bekas setiausaha Gabungan Persatuan Orang Cacat Malaysia, berkata syarat itu tidak adil kerana individu normal diberikan tempoh sehingga 12 Julai ini untuk menjalani ujian PSV.
āKami tidak faham kenapa kami perlu menduduki ujian lebih awal. Daripada apa yang saya dengar ujian PSV sangat susah. Saya rasa kita perlu diberikan lebih banyak masa untuk belajar sebelum mengambil ujian itu.ā
Wanita itu berkata, pemandu OKU juga tidak patut diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan.
āKami membawa kad OKU selepas disahkan pakar perubatan kerajaan. Hanya selepas pakar mengesahkan jenis ketidakupayaan anda, baru Jabatan Kebajikan Masyarakat mengeluarkan kad kepada anda.ā
Aktivis, Anthony Thanasayan yang berkerusi roda turut menggesa menteri pengangkutan mengkaji semula keputusan untuk pemandu OKU menjalani pemeriksaan kesihatan.
āKenapa paksa mereka lalui ini lagi apabila mereka sudah disahkan? Tahukah anda jenis kesusahan yang mereka perlu lalui untuk pergi ke hospital?ā soalnya.
Beliau berkata, ramai pemandu OKU mungkin tidak bersedia menduduki ujian PSV hari ini.
Kira-kira 30 pemandu OKU berhimpun di Kementerian Pengangkutan di Putrajaya pada 27 Jun lalu dan menyerahkan memorandum kepada Loke untuk mempertimbangkan beberapa syarat bagi golongan itu mendapatkan lesen PSV. – FMT