KUALA LUMPUR – Menteri Industri Utama, Teresa Kok diminta berhenti ‘mendramakan’ pelbagai isu komoditi utama, sebaliknya segera melawat peladang dan pekebun di seluruh negara bagi memahami masalah yang dihadapi mereka.
Mengikut laporan, disebabkan pengeluaran yang melebihi jangkaan, ditambah dengan eksport yang berkurangan, harga antarabangsa minyak sawit mentah (MSM) telah jatuh ke paras terendah dalam tujuh tahun tahun pada RM1,947 per tan.
Ini bermakna peladang kecil bakal menerima pulangan buah tandan segar (BTS) yang lebih rendah dari bulan lepas, yang mencatatkan RM285 hingga RM295 per tan.
Harga rendah sebegini telah menghantui lebih 650,000 peladang kecil sawit seluruh negara melebihi setahun, ini membayangkan masa depan yang malap bagi industri berkenaan, kata Setiausaha Organisasi Kebangsaan MCA, Ling Tian Soon.
Sementara itu, pengeluaran produk sawit bulan Jun, telah merosot 19.9 peratus kepada 1,343,428 tan berbanding 1,677,639 tan pada bulan sebelumnya.
Menurutnya, syarikat pemeriksaan bebas, AmSpec Agri Malaysia pula melaporkan, eksport dalam tempoh sama juga susut 19.6 peratus.
“Statistik ini amat membimbangkan, justeru Kementerian Industri Utama tidak boleh terus memandang remeh masalah ini, sebaliknya kembali ke pangkal jalan secara lebih pragmatik, iaitu membantu mengatasi masalah yang mendepani para pengusaha sawit.
“Prestasi Kok amat mengecewakan. Selain membuat demonstrasi meminum minyak sawit di Parlimen, serta mengeluarkan kenyataan seperti menoreh pada waktu hujan, menukar ke tanaman buluh, menanam getah dan sawit di sekolah, ‘padan muka’ dan sebagainya, tiada apa-apa yang membanggakan dilakukan oleh beliau, yang sering kali cuba membakar semangat dengan mengatakan, hanya dengan pemeteraian perjanjian dengan China serta ‘menggegar sedikit’ Kesatuan Eropah (EC) sahaja, harga minyak sawit akan menjulang naik.
“Tetapi hakikatnya, Menteri dan kepimpinan negara telah pun pergi ke China dua kali dan EC, harga sawit tidak naik juga,” katanya.
Sehubungan ini, MCA sekali lagi mendesak supaya kerajaan segera berhenti mengimport MSM dari Indonesia untuk diproses dan pastikan kesemua minyak sawit untuk eksport adalah produk tempatan.
Kerajaan juga perlu segera melaksanakan skim galakan dan insentif penanaman semula, yang pernah dilakukan kerajaan terdahulu pada RM7,500 sehektar selepas menghentikannya.
Selain itu menyediakan kemudahan baja subsidi kepada peladang-peladang kecil, bagi menurunkan kos pengeluaran dan menyediakan skim pembiayaan mudah, bagi membantu peladang-peladang sawit yang sebelum ini membeli lading sawit dengan pembiayaan bank.
Jelas Ling, peladang-peladang telah menunggu sekian lama, namun kerajaan hanya mampu berjanji serta memberikan kata-kata semangat, tidak lebih dari itu.
Ini begitu mengecewakan kerana menteri berkenaan sepatutnya tidak lagi memikirkan penyelesaian yang tidak praktikal dari dalam bilik berhawa dingin.
“Sebaliknya dekatilah hidup peladang-peladang, bagi memahami serta mengatasi masalah mereka,” tegasnya. – MalaysiaGazette