KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas terkenal, Ustaz Ebit Lew mengalami kemalangan dekat Lebuh Raya Utara-Selatan di Seremban pagi tadi.
Menerusi laman Facebooknya, dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, Ebit atau nama sebenarnya, Ebit Irawan Ibrahim Lew @ Lew Yun Pau hanya mengalami kecederaan ringan.
Menurutnya, dia bersama dua lagi rakan dalam perjalanan balik dari Masjid Politeknik Pasir Gudang menuju ke Kuala Lumpur selepas habis ceramah agama.
“Saya bertiga. Ada kereta masuk ke kanan tiba-tiba himpit kereta saya. Takde (tiada) kereta lain di highway (lebuh raya). Saya cuba elak sampai hampir kena divider (pembahagi jalan) kanan.
“Dua-dua (kenderaan) hampir terbalik. Saya tercampak ke depan. Sempat mengucap. Terhentak kuat juga. Sakit badan dengan hidung,” katanya.
Tambahnya lagi, dia bersyukur kerana semuanya selamat meskipun kereta yang menghimpitnya itu terbalik.
“Walau kita dah bawa elok tiba-tiba orang boleh leka atau mengantuk himpit kita. Syukur pada Allah semua selamat.
“Di sebalik musibah hari ini ada rahmat Allah menanti. Kasih sayang Allah. Staf PLUS dan towing (lori tunda) semua kenal,” kongsinya yang turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang membantunya – K! ONLINE