ALOR SETAR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan telah menetapkan tiga syarat yang merupakan pendirian parti itu kepada Parti Peribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sekiranya ingin menjalinkan kerjasama politik.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, perkara tersebut dinyatakan kepada āorangā Tun Dr. Mahathir Mohamad yang datang berjumpa dengan beliau baru-baru ini.
āIngin saya maklumkan hari ini bahawa saya telah didatangi āorang Tunā (Mahathir) supaya kita (UMNO dan BERSATU) duduk berbincang (bekerjasama) baru-baru ini.
āMaka saya sebutkan pendirian dengan jelas bahawa UMNO sama sekali tidak mahu DAP menjadi rakan kongsi (bekerjasama); kedua, membawa PAS bersama-sama (kerjasama politik) dan ketiga, tidak membubarkan UMNO,ā katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan semasa menghadiri program sarapan bersama barisan kepimpinan UMNO bahagian Alor Setar di Dewan RC di sini, hari ini.
Yang turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Ahmad Zahid berada di negeri ini untuk lawatan kerja selama dua hari sejak semalam.
Menurut Ahmad Zahid, pendirian sama juga dilontarkan jika parti-parti lain termasuk PKR ingin menjalin kerjasama politik dengan UMNO.
Katanya, pendirian UMNO tersebut adalah amanah yang perlu dipertahankan beliau sebagai Presiden parti dan kehendak akar umbi ahli-ahli.
Tambah beliau, kuasa majoriti orang Melayu sekiranya bergabung melalui penyatuan ummah telah āmenggerunkanā Pakatan Harapan (PH) termasuk apabila Dewan Negara meluluskan untuk membenarkan umur 18 tahun mengundi semasa pilihan raya.
āSebelum ini kita mempunyai 62 peratus pengundi orang Islam dan apabila dicampur dengan usia 18 tahun (dibenarkan mengundi) ia menjadi 68 peratus pengundi kaum itu. Jika termasuk Bumiputera, ia menjadi 72 peratus,ā katanya.
Kelmarin, Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 diluluskan di Dewan Negara dengan majoriti dua per tiga.
Dengan kelulusan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan ini, pilihan raya pada masa hadapan akan menyaksikan pengundi berumur 18 tahun dibenarkan mengundi dan menjadi calon berbanding umur 21 tahun sebelum ini, selain pendaftaran pengundi akan dilakukan secara automatik. – UTUSAN ONLINE