KUALA LUMPUR – Pengerusi Persatuan Dong Zong, Tan Tai Kim hadir ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini bagi memberi keterangan berhubung dakwaan persatuan tersebut yang mengatakan langkah kerajaan memperkenalkan tulisan Jawi di sekolah disifatkan sebagai islamisasi.
Difahamkan, Tai Kim tiba bersama Setiausaha Kehormat, Dong Zong, Ng Chai Heng serta dua peguam, Abraham Au dan Ng Guang Fa kira-kira pukul 9.30 pagi sebelum mereka dilihat meninggalkan Bukit Aman pada pukul 12.45 tengah hari.
Sementara itu, Chai Heng berkata, pihaknya dihubungi polis semalam untuk hadir memberi keterangan berhubung 18 laporan polis dibuat terhadap mereka.
“Proses rakam keterangan ini berjalan lancar tetapi kami tidak dimaklumkan sama ada perlu datang lagi untuk beri keterangan,” katanya di sini hari ini.
Bagaimanapun, usaha menghubungi Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berhubung perkara itu gagal.
Sebelum ini, Huzir berkata, siasatan terhadap Tai Kim dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan bagi kesalahan sengaja mengaibkan dengan niat membangkitkan pecah keamanan.