MELAKA – Orang ramai di seluruh Malaysia khususnya di Melaka dan golongan generasi muda dipelawa mengenakan busana tradisional Melayu pada sambutan Hari Kebangsaan 31 Ogos ini bagi mengambil semangat kemerdekaan negara.
Pengerusi Persatuan Sejarah Dan Warisan Melayu Duyong (Pesawad), Khalid Hussin berkata bapa kemerdekaan negara, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sendiri telah memakai busana lengkap Melayu ketika membuat pengisytiharan kemerdekaan negara pada 12 tengah malam 31 Ogos 1957 di Padang Kelab Selangor, Kuala Lumpur.
Khalid berkata memakai busana lengkap tradisional Melayu iaitu tanjak, baju layang, kain samping dan keris adalah satu tradisi yang seharusnya dijadikan sebagai kebanggaan dan anak muda tidak perlu rasa malu dengan warisan ini.
“Saya berharap generasi muda tidak merasa malu atau kekok untuk mengenakan busana Melayu ini kerana ia melambangkan bukan hanya jati diri orang Melayu tetapi simbol rakyat Malaysia yang berbilang kaum, agama dan bangsa.
“Jika bukan kita yang hendak hidupkan dan pertahankan warisan ini, siapa lagi yang sanggup untuk berbuat demikian,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Kampung Duyong dekat sini baru-baru ini.
Sementara itu, Zainuddin Mohd, 70, dari Alor Gajah akan memakai busana Melayu sempena kemerdekaan bagi menghidupkan kembali semangat kemelayuan dan memupuk semangat perpaduan.
“Bila pakai busana Melayu, saya dapat rasa aura kerana bagi saya ia melambangkan jati diri bagi sesuatu bangsa seperti mana bangsa lain yang turut bangga apabila memakai pakaian tradisional masing-masing, kepelbagaian budaya inilah yang membentuk kepada perpaduan di negara ini,” kata bekas penjawat awam itu.
Hashim Sudin, 72, dari Bukit Baru berkata orang Melayu harus menghidupkan kembali roh busana Melayu agar ianya dapat dikenali oleh generasi akan datang.
“Kita tidak mahu satu hari nanti generasi akan datang hanya dapat melihat busana Melayu sebagai bahan pameran di muzium atau galeri seni sahaja,” katanya yang pernah berbusana lengkap Melayu ketika majlis perkahwinan anaknya 10 tahun lepas.