KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) memperluaskan kriteria kelayakan bagi Dana Rumah Mampu Milik RM1 bilion.
Gabenor BNM, Nor Shamsiah Mohd Yunus ketika mengumumkan mengenai perkara itu berkata pendapatan bulanan isi rumah yang layak dinaikkan kepada RM4,360 daripada RM2,300 sebelum ini, manakala harga hartanah maksimum ditingkatkan kepada RM300,000 daripada RM150,000.
Tambahan ini akan berkuat kuasa pada 1 September depan, ia merupakan satu inisiatif tambahan oleh BNM bagi membantu golongan berpendapatan di bawah 40 untuk memiliki rumah pertama mereka, katanya semasa majlis pelancaran Khidmat Nasihat Pembiayaan (MyKNP) semalam.
Selepas itu, dalam satu sidang akhbar, Penolong Gabenor Adnan Zaylani Mohamad Zahid berkata BNM meluluskan 296 permohonan membabitkan pembiayaan bernilai RM31 juta sehingga akhir Jun 2019.
Peningkatan kelayakan dana itu akan membolehkan lebih ramai orang untuk meraih manfaat, sekali gus membantu meningkatkan kadar penggunaan dana tersebut.
“Kami belum menetapkan sebarang sasaran prestasi, tetapi tujuannya adalah bagi menangani kes-kes (permohonan pembiayaan yang ditolak) dan membantu meningkatkan kelayakan.
“Kami berharap orang awam serta peminjam yang menghadapi penolakan pembiayaan akan menggunakan kemudahan ini,” katanya.
Adnan Zaylani berkata, BNM menerima maklum balas ada perusahaan serta isi rumah yang menghadapi kekurangan maklumat dan kesedaran mengenai daya maju pinjaman di pasaran.
“Apabila permohonan mereka ditolak daripada satu institusi tertentu, peminjam cenderung untuk berpendapat keseluruhan ekosistem tidak akan membantu mereka.
“Dengan inisiatif ini (MyKNP), kami berharap untuk membuka perspektif mereka wujud ekosistem yang lebih besar yang boleh membantu bakal peminjam bagi mendapatkan pembiayaan atau memperbaiki peluang mereka untuk mendapatkan pinjaman,” katanya.
Dana tersebut, yang mempunyai kadar pembiayaan maksimum pada kadar 3.5% setahun adalah untuk hartanah dalam pasaran utama sahaja.
Peminjam mesti pekerja bergaji atau bekerja sendiri dan tidak mempunyai mana-mana rekod pembiayaan yang terjejas dalam tempoh 12 bulan.