PAKAR sejarah mencadangkan kerajaan memulihara dan membaik pulih rumah agam bersejarah, Carcosa Seri Negara yang pernah menjadi saksi kepada pemeteraian Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957.
Pakar sejarah, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam berkata, bangunan itu sangat penting kerana ia salah satu sejarah dan harus dijadikan warisan negara untuk generasi akan datang.
“Sebagai satu warisan sejarah, dua bangunan itu turut menyaksikan banyak peristiwa penting. Ia harus dijaga oleh kerajaan,” katanya.
Carcosa dipercayai berasal daripada bahasa Itali bermaksud ‘tempat amat disayangi’ yang dibina Residen Jeneral British pertama di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu iaitu Sir Frank Swettenham.
Ia dijadikan kediaman rasmi beliau dan Carcosa yang dibina pada 1896 dipulangkan kepada kerajaan Malaysia pada 1987. Ia pernah menjadi salah satu hotel utama di Kuala Lumpur.
Carcosa adalah sebuah banglo mewah yang berusia lebih 100 tahun manakala King’s House yang bersebelahan dengannya pula kediaman tetamu kenamaan suatu ketika dahulu.
Bagaimanapun, kini Carcosa Seri Negara yang dipercayai bernilai lebih RM1 bilion itu dilaporkan terbiar dan rumah agam itu semakin uzur dimamah usia.
Ramlah berkata, Carcosa dan Seri Negara adalah dua bangunan berbeza. Seri Negara yang dahulu dikenali sebagai King’s House pernah menjadi tempat persidangan Raja-Raja Melayu untuk menandatangani Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu.
“Perjanjian itu juga menyebabkan kita membentuk kerajaan Persekutuan yang diguna pakai sehingga kini,” katanya.
Tegas Ramlah, Carcosa Seri Negara mempunyai nilai sejarah dan ia wajar dihebahkan kepada orang ramai.
“Bangunan tersebut juga perlu dikekalkan dan sejarahnya diceritakan kepada orang awam supaya mereka tahu kepentingan kewujudan Carcosa dan Seri Negara di Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur.
“Kita perlu kekalkan seni bina dan struktur bangunan itu, ia boleh dijadikan tempat memorial seperti Memorial Tun Abdul Razak atau sebagai muzium,” katanya.
Sementara itu Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Sejarah Malaysia, Prof. Madya Mohd Samsudin berkata, selepas kemerdekaan terdapat desakan daripada rakyat supaya bukit dan bangunan Carcosa yang menjadi milik British diserahkan kembali kepada kerajaan Malaysia demi ‘maruah negara’.
Kata Mohd, kerajaan Britain bersetuju menyerahkannya semula pada tahun 1984. Ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri menerima kembali bagi pihak kerajaan Malaysia.
Menurutnya, Carcosa hakikatnya menjadi saksi penting pelbagai sejarah negara.
“Antaranya sebelum kemerdekaan pada tahun 1946, Harold MacMichael yang dihantar kerajaan British untuk menjayakan rancangan Malayan Union menjadikan bangunan ini sebagai kediaman dan bilik gerakan rancangan Malayan Union.
“Bangunan ini amat penting kepada sejarah dan warisan negara. Dari segi sejarah ia lambang perjuangan negara ke arah mencapai kemerdekaan apabila banyak peristiwa penting sejarah berlaku di sana,” katanya kepada Sinar Harian.
Mohd yang juga Pengarah Muzium Warisan Akademik Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, antara usaha boleh dilakukan untuk berkongsi sejarah Carcosa Seri Negara adalah dengan menjadikan ia sebagai sebuah kawasan pelancongan yang dibangunkan dengan menggalakkan golongan muda dan pelajar menjalankan aktiviti di lokasi bersejarah tersebut. – Sinar Harian