KUALA LUMPUR – Penyampai berita Buletin Utama TV3, Hawa Rizwana Ahmad Redzuan, mengakui pelakon dan usahawan, Fizo Omar meminta maaf kepada ayahnya, susulan komen dibuatnya menerusi Instagram yang tular, baru-baru ini.
Katanya, perkara itu dimaklumkan bapanya, Profesor Datuk Dr. Ahmad Redzuan Abd Rahman apabila pelakon dan pengacara itu menghubungi menerusi panggilan telefon untuk meminta maaf.
“Tiada apa yang perlu dirisaukan kerana ayah faham dunia hiburan tidak dapat lari daripada usikan atau gosip. Saya sendiri sudah lupa perkara remeh itu.
“Tetapi, Fizo yang saya anggap sebagai abang ikhlas memohon maaf. Ayah berkata, Fizo serba salah apabila nama saya dan keluarga diperkatakan ramai, gara-gara komen yang ditulisnya.
“Sebagai individu yang pernah merasai asam garam dunia penyiaran, ayah tidak marah atau terkesan dengan usikan sebegitu,” katanya.
Terdahulu, Fizo meninggalkan komen dalam satu muat naik di Instagram Hawa apabila memuji cara dia mengendalikan sebuah acara.
Susulan itu, warganet meninggalkan pelbagai komen nakal, malah turut mendakwa pelakon yang baru menjadi duda itu cuba menawan hati Hawa.
Gadis berwajah iras Neelofa itu mengakui, mereka memang sudah mengenali antara satu sama lain, namun hanya sebagai abang dan adik, memandangkan Fizo ialah kenalan bapanya.
Fizo pernah mendirikan rumah tangga bersama usahawan, Mawar Karim pada November 2013, tetapi berpisah pada 10 Julai lalu. Mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Wan Maryam. – BH Online