PUTRAJAYA – Jenazah Amirul Ashraff Md. Azhar, pelajar Malaysia yang meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari pangsapuri yang didiaminya di Sydney, Australia, semalam dijangka dibawa pulang minggu depan.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, pegawai Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Australia sedang berusaha memastikan jenazah penuntut tahun akhir Ijazah Kejuruteraan Mekatronik di Universti Technology Of Sydney itu dapat dibawa pulang segera.
Beliau berkata, urusan tersebut dijangka dapat dimuktamadkan selepas proses bedah siasat dan siasatan ke atas pelajar tajaan Mara yang sedang dilakukan pihak berkuasa negara itu diselesaikan.
“Pegawai kita di sana sedang berusaha menyelesaikan beberapa perkara termasuk urusan dokumentasi yang memerlukan sedikit masa untuk diselesaikan.
“Tetapi menurut pegawai terbabit, jenazah dijangka dapat di bawa pulang ke Malaysia minggu depan,” katanya kepada pemberita selepas meraikan 70 pelajar cemerlang di bawah program Budi Mara dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di sini hari ini.