1. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) menzahirkan kekesalan di atas kenyataan Kementerian Pendidikan Malaysia dan Menterinya, YB Dr. Maszlee yang dilihat berlembut dengan isu pembelajaran Jawi dan Khat di sekolah. Sejurus kenyataan rasmi dikeluarkan oleh YB Menteri, golongan pendesak Dong Zong turut mengemukakan kenyataan balas yang angkuh.
2. Pertama, pembelajaran Jawi dan Khat kini menjadi pembelajaran pilihan, di mana guru diberi kuasa untuk membuat keputusan mengenai kaedah pelaksanaannya. Erti kata lain, guru diberi pilihan untuk mengajar anak murid atau tidak. Adalah tidak menjadi kesalahan untuk tidak mengendahkan topik Jawi dan Khat. Kecelaruan akan timbul di mana ada anak-anak Malaysia belajar Jawi dan Khat, dan ada juga yang rugi besar kerana tidak mendapat peluang belajar seni warisan Melayu.
3. Kedua, Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) berdukacita dengan keputusan YB Menteri yang mengurangkan bilangan mukasurat daripada enam (6) kepada hanya tiga (3) mukasurat. Sudahlah pengajaran adalah pilihan, pengisian pembelajaran juga dipendekkan hanya kerana mengikut kehendak Dong Zong. DPIM menegaskan Jawi dan Khat bukan bertujuan Arabisasi, tetapi mendukung seni warisan Melayu. Adakah Dong Zong kini bertujuan menghapuskan seni warisan Melayu terhadap generasi baru Bangsa Malaysia?
4. Ketiga, kenyataan Dong Zong setelah YB Maszlee mengeluarkan kenyataan rasmi adalah satu bentuk penghinaan kepada YB Menteri. Mereka bertegas tidak bersetuju dengan pembelajaran Jawi dan Khat walaupun Menteri sudah berlembut dengan desakan mereka. Pada awalnya, Dong Zong bertegas tidak bersetuju, kemudian mereka bersetuju apabila berjumpa Timbalan Menteri Pendidikan. Setelah Maszlee mengeluarkan kenyataan media yang berlembut dan “berkompromi” melalui perubahan kepada silibus dan diajar secara pilihan, Dong Zong tidak bersetuju sekali lagi.
5. Dong Zong kini seolah-olah lebih berkuasa daripada Kementerian Pendidikan itu sendiri. Dong Zong juga lebih hormat Timbalan Menteri Pendidikan berbanding Menteri Pendidikan itu sendiri. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) akan terus menyemak dasar-dasar Dong Zong yang tidak menzahirkan nilai tambah kepada agenda pendidikan nasional ke arah pembinaan Bangsa Malaysia yang sejahtera.
Selamatkan Kembali Malaysia!
#SelamatkanKembaliMalaysia #SaveMalaysiaAgain #PemudaMemimpin
Shahir Adnan
Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM)
Parti IKATAN Bangsa Malaysia merangkap
Pemuda Gagasan Sejahtera