KUALA LUMPUR – Komitmen Lynas Malaysia dalam meningkatkan kesihatan dan keselamatan pekerjaan menerima penghargaan tertinggi dengan penerimaan Anugerah Emas dari Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH).
Menurut Naib Presiden Bahagian Pekerja dan Budaya, Mimi Afzan Afza, anugerah dalam kategori ‘Pembuatan dan Bahan Kimia’ ini merupakan satu penghargaan terhadap Lynas Malaysia dalam mewujudkan persekitaran kerja yang sihat dan selamat.
“Penghargaan ini merupakan satu kejayaan besar buat semua warga Lynas Malaysia yang sentiasa berusaha keras dalam mewujudkan persekitaran yang sihat dan selamat.
“Selamat buat para pekerja dan juga selamat buat komuniti di sekeliling kami dan persekitaran,” kata Mimi Afzan dalam satu kenyataan, semalam.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran dalam satu majlis di Damansara, baru-baru ini.
Pengiktirafan tersebut dianugerahkan berdasarkan pengauditan rekod, dan menurut Mimi Afzan lagi, kakitangan Lynas Malaysia telah berjaya membudayakan keselamatan pekerjaaan.
“Kami sentiasa menjadikan keselamatan dan kesihatan sebagai keutamaan harian dan kami amat berbangga usaha kami ini kini diiktrifaf.”
Anugerah MSOSH yang dimulakan pada tahun 1982 ini bertujuan untuk mengiktiraf organisasi yang telah mencapai kejayaan dalam rekod keselamatan dan kesihatan dan telah menunjukkan peningkatan melalui sistem pengurusan yang baik.
Jawatankuasa Teknikal ini dianggotai oleh juruaudit dari Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), MSOSH, Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Sirim Berhad, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), dan Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM). – UTUSAN ONLINE