PETALING JAYA – Perdana menteri melantik tiga belia untuk menganggotai Majlis Tindakan Ekonomi baru-baru ini, kata Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Tiga belia itu adalah Nadhir Ashafiq, 31, pengarah eksekutif dan pengasas bersama TheLorry.com; Liew Ooi Hann, 33, ketua pegawai eksekutif dan pengasas bersama RinggitPlus.com dan Radzi Tajuddin, 29, ketua pegawai eksekutif dan pengasas bersama Hartabumi.com.
Syed Saddiq mengucapkan terima kasih kepada Dr. Mahathir Mohamad atas pelantikan tiga belia berkelayakan tinggi itu untuk memberi pandangan dalam isu berkaitan kos sara hidup, pekerjaan, kemiskinan dan pemilikan rumah kepada majlis berkenaan.
“Ini sejajar hasrat kerajaan mengiktiraf peranan belia sebagai pihak berkepentingan untuk membincang dan merumuskan dasar negara.
“Ini satu lagi inisiatif untuk memperkasakan belia susulan penurunan had umur belia, had umur mengundi dan inisiatif latihan praktikal berbayar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berharap pelantikan itu akan membuka lebih banyak peluang kepada belia berkelayakan untuk menerajui agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan dan sektor swasta.
Pejabat Perdana Menteri mengumumkan penubuhan MTEN pada 11 Februari lalu untuk meneliti dan membuat keputusan berkaitan hal ehwal ekonomi, kewangan serta kebajikan rakyat.
MTEN yang dipengerusikan Mahathir itu turut terdiri daripada 16 ahli merangkumi menteri Kabinet, tokoh ekonomi dan pemimpin industri.
Antaranya, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali; Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Darell Leiking; Menteri Kerja Raya, Baru Bian; penasihat ekonomi perdana menteri, Muhammed Abdul Khalid; Pengerusi Permodalan Nasional Berhad, Zeti Akhtar Aziz; bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri, Rafidah Aziz; pakar ekonomi yang juga ahli Majlis Penasihat Kerajaan, Prof. Jomo Kwame Sundaram; Pengarah Urusan Public Bank, Tay Ah Lek; Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan Asean Malaysia, Mohd Munir Abdul Majid dan Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia, Paul Selvaraj.