KANGAR – Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin hairan dengan pendirian sesetengah pihak yang membantah pengenalan tulisan khat dan Jawi dalam mata pelajaran bahasa Melayu Tahun 4 pada tahun depan.
Menurutnya, mereka ini seolah-olah fobia dan benci terhadap apa sahaja yang dianggap mempunyai hubungan dengan Islam sehingga yang bukan agama sekalipun juga dianggap seperti agama.
Katanya, tulisan Jawi adalah warisan sejarah negara ini dan tidak menjadi masalah untuk sesiapa sahaja belajar seni berkenaan.
“Pertamanya saya hendak tanya adalah tulisan Jawi ini agenda agama atau warisan sejarah bangsa kita. Kalau agenda agama Islam, betullah mereka tidak mahu (enggan) belajar. Namun Jawi adalah warisan sejarah negara ini yang langsung tidak menjadi masalah untuk dipelajari.
“Sesetengah mereka yang ada di Malaysia ini tiba-tiba jadi fobia semacam apa yang dianggap mempunyai hubungan dengan Islam. Itu sebenarnya. Kita sudah nyata tidak ada (tulisan Jawi) hubungan dengan agama,” katanya dalam satu rakaman klip video ceramah mingguannya bagi mengulas isu tulisan Jawi yang dikongsikan di dalam status Facebooknya di sini hari ini.
Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik dalam satu sidang akhbar berhubung isu itu semalam mengumumkan Jemaah Menteri bersetuju supaya pengenalan seni khat dan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu diteruskan seperti dirancang mulai tahun hadapan.
Menurut Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam, pengenalan tulisan khat yang akan dimuatkan sebanyak tiga muka surat dalam buku teks itu dilaksanakan secara pilihan dengan guru diberikan kuasa untuk membuat keputusan mengenai kaedah pelaksanaannya di bilik darjah masing-masing.
Kabinet juga secara bersepakat bersetuju agar pengenalan tulisan khat tidak akan dinilai dalam apa-apa juga ujian atau peperiksaan.
Tambah Mohd. Asri, Malaysia meskipun sedikit sebanyak ada kelemahannya, namun dalam hal menjaga bangsa adalah yang paling baik. – UTUSAN ONLINE