SEPANG – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Macvom) tidak berpuas hati terhadap kejadian gangguan sistem yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak kelmarin.
Mavcom dalam kenyataanya memaklumkan, pihaknya adalah sebuah suruhanjaya yang menyediakan mekanisme perlindungan pengguna penerbangan amat terkejut dengan kejadian berkenaan.
Kata kenyataan itu, Mavcom telah berhubung dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan meminta pihak terbabit untuk memaklumkan kepada penumpang dan syarikat penerbangan terbabit sekiranya operasi di KLIA kembali normal.
“Kami faham bahawa MAHB sedang bekerjasama dengan semua pihak berkaitan termasuk Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk memulihkan operasi lapangan terbang.
“Mavcom akan terus memantau dan menilai tahap perkhidmatan di KLIA menerusi Rangka Kerja Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang serta Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC),” kata kenyataan itu di sini hari ini.
Gangguan berlaku kelmarin itu berpunca daripada masalah sistem pelayan KLIA sekali gus menyebabkan beberapa jadual penerbangan mengalami kelewatan.
Malah gangguan tersebut juga menyebabkan operasi kaunter daftar masuk bagasi sesak apabila penumpang beratur panjang kerana operasi dikendalikan secara manual.
Selain itu, gangguan teknikal tersebut juga menjejaskan papan maklumat penerbangan dan menyukarkan penumpang untuk mengetahui lebih lanjut butiran penerbangan.
Ekoran itu papan maklumat penerbangan dilakukan secara manual dengan penumpang perlu menyemak sendiri di kaunter pertanyaan. – UTUSAN ONLINE