PUTRAJAYA – Dakwaan yang mengatakan inisiatif perlindungan insurans MySalam sebagai skim cepat kaya merupakan satu tuduhan palsu sama sekali.
Kementerian Kewangan dalam kenyataan menegaskan bahawa tiada unsur keuntungan untuk mana-mana syarikat insurans melalui skim berkenaan.
“Segala baki premium telah dibayar kepada syarikat takaful yang tidak dituntut dan faedah simpanan terkumpul, akan dibayar balik sepenuhnya kepada Tabung Amanah mySalam.
“Skim perlindungan kesihatan ini merupakan satu skim takaful yang bukan bermotif keuntungan,” kata kementerian dalam kenyataan di sini hari ini.
Sehubungan itu, Kementerian Kewangan menjelaskan artikel tulisan oleh Presiden Angkatan Karyawan Nasionalis (Akar), Ab. Jalil Backer dalam sebuah akhbar semalam adalah dakwaan palsu dan secara langsung menunjukkannya tidak mengetahui fakta sebenar skim ini.
“Artikel seperti ini yang berdasarkan fakta palsu dan tajuk sensasi adalah bertujuan untuk menidakkan manfaat dinikmati rakyat daripada skim ini.
“Kementerian Kewangan Malaysia dan Bank Negara telah menjalankan kajian dan penilaian yang menyeluruh untuk memastikan bahawa skim mySalam memberi manfaat sepenuhnya kepada rakyat,” ujar kenyataan itu.
Tambah kementerian, kerajaan sentiasa prihatin akan beban kewangan rakyat terutamanya ketika kecemasan kesihatan yang tidak dijangka.
Maklumat tentang skim ini boleh didapati dengan mudah melalui laman web Skim mySalam di www.mysalam.com.my.