PETALING JAYA – Semakin ramai pembeli hartanah yang kaya dari Hong Kong melihat Malaysia sebagai destinasi rumah kedua mereka sewaktu wilayah pentadbiran istimewa China itu bergelut dengan protes meluas yang berlaku.
Selain mengambil kesempatan ke atas program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang diwujudkan bagi menarik pembeli kaya dengan hartanah bernilai minimum RM500,000, ramai yang masuk melalui saluran lain dan paling tidak, menyasarkan pembelian dalam julat harga antara RM4-5 juta.
Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) cawangan Pulau Pinang, Toh Chin Leong berkata, banyak ejen dan pemaju perumahan Malaysia kini bekerjasama dengan ejen di Hong Kong bagi mendapatkan data pembeli di sana.
“Dalam jangka 1-2 bulan ini, banyak pemaju dijangka pergi ke Hong Kong untuk menjual hartanah Malaysia,” kata Toh.
Katanya, Malaysia merupakan destinasi pilihan kerana harga hartanahnya lebih rendah dengan saiz lebih besar.
“Saiz hartanah yang boleh didapati di sini dan di sana pada harga RM1 juta berbeza. Di Hong Kong, sebuah “kondominimum mewah” berharga RM3 juta – iaitu sebuah rumah cantik yang menghadap selat – hanyalah kira-kira 700 kaki persegi,” katanya.
“Di sini, dengan RM1.5 juta anda mendapat rumah seluas 1,400 kaki persegi. Ruang mewah di sini menarik minat mereka.”
Baru-baru ini dilaporkan bahawa inisaitif “Malaysia Rumah Keduaku” mendapat sejumlah 3,500 permohonan tahun ini.
Setakat ini tidak ada permohonan yang diluluskan tahun ini, tetapi pemohon yang diluluskan boleh mendapat visa pemastautin banyak kemasukan boleh diperbaharui dan mungkin dibenarkan membeli hartanah bernilai RM1 juta atau lebih dan memiliki kenderaan.
Bagaimanapun mereka tidak dibenarkan bekerja sepenuh masa tanpa pas pekerjaan.
Tong berkata, Pulau Pinang terutamanya menjadi destinasi pilihan berbanding bandar lain di Malaysia kerana warga Hong Kong menggemari makanan, pendidikan dan kemudahan perubatan yang ada di negeri itu.
Menurut laman web propertyguru.com, hartanah mewah di Pulau Pinang biasanya dijual pada harga antara RM1 juta hingga RM4 juta.
Ejen hartanah Ernest Cheong bagaimanapun kurang yakin, justeru mengingatkan pemaju supaya tidak terlalu teruja dengan prospek kemasukan migran terbabit.
Cheong berkata, warga Hong Kong, Taiwan dan Korea Selatan umumnya lebih gemar membeli hartanah di Amerika Syarikat, Australia dan England.
“Akan tetapi, tidak mudah membeli hartanah di negara berkenaan atau berpindah ke sana. Justeru pada masa ini, mereka memilih untuk membeli hartanah di Malaysia.
“Kita tidak harus terlalu teruja. Hanya berlaku sedikit peningkatan dalam jumlah pembeliah hartanah oleh warga Hong Kong di sini. Malaysia bukan keutamaan mereka. Kita tidak benar-benar berada dalam radar mereka.”