KUALA LUMPUR – Pengarah Raja Ahmad Alauddin dilaporkan telah meninggal dunia sebentar tadi.
Berita duka itu dikongsikan rakan pengarahnya, Shahrulezad Mohameddin menerusi laman Facebook.
Menurut pelakon veteran Mustapha Kamal menerusi Facebook, pengarah drama Ariana Rose itu menghembuskan nafas terakhir ketika tidur.
“Al-fatihah. Raja Ahmad Alauddin seorang pengarah tersohor negara kita meninggal pagi ini. Dikhabarkan meninggal dalam tidur. Allahhummarghfirlahu warhamhu waafihi wakfuanhu.
“Semoga ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Amin. Kali terakhir saya bekerja di bawah arahan beliau adalah menerusi drama bersiri Puteri Saadong,” tulisnya.
Difahamkan, Allahyarham sepatutnya sedang sibuk dengan penggambaran drama rantaian 15 episod yang berjudul Pesan Pada Hati.
Pemergiannya mengejutkan pelakon dan kru penggambaran drama tersebut apabila Allahyarham tidak muncul di set penggambaran pagi ini.
Sepanjang kariernya, Allahyarham telah mengarah beberapa buah drama seperti Aurora Aisyah dan Sebenarnya, Saya Isteri Dia!.
Sementara itu antara karya layar perak yang pernah diarahkan beliau adalah Lurah Dendam, Hati Bukan Kristal dan Kayangan. – K! ONLINE