KUALA LUMPUR – Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) menetapkan harga minyak mentah Brent yang lebih rendah berbanding AS$66 (RM276.145) setong yang ditetapkan tahun ini bagi tujuan perancangan kumpulan untuk tahun 2020.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, ia berikutan pihaknya menjangkakan industri minyak dan gas global minyak global akan terus mengalami ketidaktentuan sekali gus memberi kesan kepada syarikat berkenaan.
Katanya, harga minyak mentah dunia juga dijangka terus rendah bersandarkan beberapa faktor luaran antaranya ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China, dan ketidaktentuan ekonomi global.
“Bagi dasar perancangan kita, ya kita mahu merancang untuk harga yang lebih rendah,” katanya di sini baru-baru ini.
Harga minyak mentah Brent hari ini didagangkan pada paras AS$59.72 (RM249.77) setong. Minyak mentah mencecah paras terendah Disember tahun lalu pada harga AS$50.77 (RM212.34) setong.
Tambah Wan Zulkiflee, Petronas memperuntukkan kira-kira RM50 bilion setahun bagi perbelanjaan modal (capex) kumpulan pada tahun ini.
Katanya, Petronas berusaha sedaya upaya memastikan capex kumpulan berada pada paras berkenaan yang menurutnya adalah bersesuaian dengan situasi O&G negara.
“Alasan kita adalah mudah, Petronas menjalankan projek-projek jangka masa panjang jadi yang lebih penting adalah bagaimana kita melihat permintaan dan harga untuk tempoh berkenaan.
“Kami cuba mengekalkan capex kira-kira RM50 bilion ringgit setahun dan ia merangkumi operasi huluan, hiliran dan lain-lain perniagaan kumpulan dan biasanya segmen-segmen ini harus memberi keutamaan dan berjuang untuk capex mereka,” katanya.