PETALING JAYA – Pemimpin PKR meminta kerajaan mempertimbangkan cadangannya untuk membangunkan Kampung Baru berhubung tawaran harga tanah, sebelum ia dikemukakan pada sesi “town hall” akan datang.
Naib Ketua Pemuda PKR, Syed Badli Syed Osman berkata kedudukan Kampung Baru yang terletak di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur selayaknya mendapat sejumlah harga yang munasabah.
“Mengandaikan harga purata dengan pemilik boleh membeli lebih 20 unit rumah mampu milik bermaksud harga di bawah paras seribu ringgit sekaki persegi bakal ditawarkan.
“Harga ini dilihat kurang sesuai dengan kedudukan semasa tanah Kampung Baru yang dilihat sangat berpotensi untuk dimajukan dengan projek berimpak tinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Syed Badli yang juga ahli Majlis Penasihat Perbadanan Pembangunan Kampung Baru berkata pertimbangan teliti seharusnya dibuat memandangkan pemilik tanah bakal menyerahkan tanah mereka untuk tujuan pembangunan.
Katanya, saranan untuk menggantikan tanah lot dengan nilaian beberapa unit strata juga perlu dilihat secara terperinci kerana pemilik bakal kehilangan sebidang tanah lot jika konsep ini diterima pakai.
“Setidak-tidaknya kerajaan perlu datang dengan tawaran yang menguntungkan kedua-dua pihak pihak khususnya dari sudut harga dan manfaat semasa,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata kerajaan sedia berbincang dengan pemilik tanah di Kampung Baru berhubung penjualan tanah kepada kerajaan untuk pembangunan semula kawasan berkenaan.
Katanya, kerajaan dianggarkan dapat menyediakan 45,000 unit rumah selepas projek pembangunan semula dilakukan.
Khalid berkata, pada sesi “town hall” yang dijadualkan pada 21 September depan, pemilik atau waris tanah kawasan tersebut akan diberi peluang bertanya soalan dan mengemukakan cadangan. – FMT