SEPANG – Tun Dr. Mahathir Mohamad memberi kuasa kepada pihak polis untuk menentukan sama ada Gabungan Jawatankuasa Sekolah-Sekolah Cina (Dong Zong), perlu diharamkan atau tidak.
Perdana Menteri berkata, kumpulan itu menentang undang-undang jika ia terus mendorong dan menghasut rakyat supaya bergaduh antara satu sama lain.
“Kita ada kebebasan bersuara tetapi sentiasa bersikap sensitif mengelak daripada menghasut rakyat pelbagai kaum untuk bergaduh antara satu sama lain.
“Tapi, Dong Zong hanya bercakap untuk satu kaum dan lupa bahawa ini adalah negara pelbagai kaum,” kata beliau bila ditanya mengenai petisyen online, dilancarkan oleh sayap Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia, yang mendesak kumpulan pendidik Cina itu diharamkan.
Menurut laporan media, petisyen itu dibuat berikutan petisyen dilancarkan oleh Dong Zong pada Ahad menentang pengajaran tulisan khat Jawi di sekolah-sekolah vernakular.
Bercakap kepada pemberita pada sambutan ulang tahun ke-21 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini, Dr. Mahathir juga mengulangi kenyataannya semalam bahawa Dong Zong adalah satu kumpulan rasis dan ia tidak pernah berjuang untuk Malaysia secara keseluruhannya kecuali untuk satu kaum di negara ini.
“Ini negara pelbagai kaum, anda mesti juga memikirkan tentang perasaan kaum lain. Bila kita buat sesuatu kita perlu fikir apa kaum lain akan kata.
“Jika mereka tidak suka, mereka perlu cuba beri ruang,” kata beliau.
Mahathir mengimbau, ketika beliau mencadangkan agar Malaysia mewujudkan sebuah Sekolah Wawasan untuk menyatu padukan rakyat, Dong Zong menentang idea itu, oleh kerana ia berpendapat ini bererti pelajar Cina terpaksa bergaul dengan kaum-kaum lain. – K! ONLINE