KUALA LUMPUR – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menjelaskan kerja-kerja perobohan replika buku di bumbung menara DBP itu dilakukan atas faktor keselamatan.
Menurut kenyataan dikeluarkan Bahagian Komunikasi Korporat DBP malam tadi, keputusan tersebut diambil selepas pakar mendapati struktur tersebut tidak berada dalam keadaan selamat.
“Kami ingin memaklumkan bahawa kerja-kerja perobohan replika buku ini dibuat setelah mendapat nasihat daripada pakar Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Mereka mengesahkan bahawa struktur replika tersebut tidak lagi berada dalam keadaan yang selamat.
“Perobohan replika ini dibuat atas faktor keselamatan. DBP memberi perhatian yang serius terhadap keselamatan staf DBP, pengunjung dan orang awam,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, kerja-kerja perobohan replika buku tersebut telah dimulakan pada 12 Julai lalu dan dijangka siap pada 16 November ini.
Kenyataan DBP itu sekali gus menjawab persoalan warga maya yang mempersoalkan mengapa replika yang berbentuk seakan rehal perlu itu dirobohkan.
Malah ada segelintir pihak mendakwa replika tersebut dirobohkan kerana melambangkan imej Islam dan didakwa ada pihak tidak senang dengan kewujudannya. – UTUSAN ONLINE