KUALA NERUS – Detik menjadi sasaran pengganas Sulu yang mengacu senjata tepat ke arahnya ketika terbabit dalam Ops Daulat di Lahad Datu, Sabah, enam tahun lalu masih segar dalam ingatan Kapten Nor Efendi Abd Wahab.
Nor Efendi, 33, yang ketika itu bertugas sebagai Ketua Platun 10, Kompeni Delta, Batalion Ke-17, Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) (Para), berkata beliau bersama lapan anggota memasuki sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Tanduo, Lahad Datu, untuk menjalankan operasi āpembersihanā musuh, sebelum seorang anggotanya melepaskan tembakan secara tiba-tiba.
āPada masa itu hanya saya seorang yang berdiri untuk menyusun anggota dan tiba-tiba seorang anggota lepaskan tembakan.
āSaya tanya kenapa dan dia beritahu ada orang di atas pokok yang memerhati dan menyasarkan untuk tembak saya. Jadi saya pun terus bertindak menyelamatkan diri,ā katanya ketika ditemui di Kem Seri Pantai, di sini.
Nor Efendi mengakui walaupun berasa gentar namun beliau terus mengatur strategi tindak balas bagi memastikan semua anggotanya selamat.
Beliau berkata, dia juga terpaksa merahsiakan pembabitannya dalam Ops Daulat pada 2013 itu daripada pengetahuan ibunya, Hamidah Mohammad, 60, kerana tidak mahu menambah dukanya ekoran pemergian bapanya, Abd Wahab Abd Shukor, tiga bulan sebelum beliau menyertai operasi itu.
Ops Daulat pada awal 2013 diadakan untuk mengusir penceroboh dari Selatan Filipina yang menggelar diri mereka anggota Angkatan Keselamatan Diraja Kesultanan Sulu dan Borneo Utara dengan seramai 10 anggota keselamatan negara terkorban dalam operasi itu.
āSaya hanya telefon dan beritahu perkara sebenar kepada emak selepas sebulan berada di Lahad Datu. Memang dia terkejut dan sering menangis sehingga adakalanya pengsan. Apatah lagi apabila dia mendengar berita mengenai ada anggota keselamatan yang terkorban, jadi dia sangat risaukan saya.
āTetapi saya pujuk emak saya dan beritahu ini adalah kerja dan tanggungjawab saya. Saya minta dia mendoakan saya dan reda atas apa sahaja yang terjadi kepada saya,ā katanya yang kini Ketua Kompeni Alpha, Batalion Ke-18 RAMD (Para).
Selain itu, semangat juang yang ditunjukkan 35 anggota platunnya untuk menentang pengganas yang menceroboh Sabah, walaupun terpaksa meninggalkan keluarga untuk tempoh yang agak lama telah memberi kekuatan kepada Nor Efendi untuk menjayakan operasi di Lahat Datu.
āAda satu malam sebelum membuat serangan, pelbagai situasi yang saya lihat dalam kalangan anggota platun saya. Ada yang melihat gambar isteri, ada yang mencium gambar anak-anak. Perasaan saya sangat sayu pada waktu itu.
āJadi situasi itu yang memotivasikan saya untuk memastikan semua anggota platun selamat. Sekiranya apa-apa terjadi kepada saya, tidak mengapa kerana saya adalah seorang ketua dan pada waktu itu saya masih bujang.
āTetapi, kalau saya tidak dapat selamatkan anggota platun, apa yang akan saya jawab bila berhadapan dengan isteri dan anak-anak mereka nanti,ā katanya.
Sementara itu, bagi Staf Sarjan Shahrol Asnoor Sabudin, 37, pula beliau terpaksa merahsiakan pembabitannya dalam Ops Daulat daripada pengetahuan isteri, Haslinda Hashim, 36, yang ketika itu mengandungkan anak kedua mereka.
āSaya memang beritahu isteri yang saya berada di Sabah tetapi tidak menyatakan yang saya berada di Lahad Datu. Ada ketika, saya terpaksa berselindung dengan mengatakan yang saya sedang main sepak takraw sedangkan waktu itu saya berada di kawasan operasi,ā katanya.
Beliau yang ketika itu berkhidmat sebagai Ketua Seksyen Kompeni Pandura bersama Batalion Ke-17 RAMD (Para) berkata cabaran menghadapi pengganas dalam Ops Daulat berbeza dengan zaman menentang penjajah sebelum kemerdekaan dahulu.
Pada waktu dahulu penjajah seperti komunis mudah dikenal pasti kerana kebiasaannya memakai uniform, namun pengganas Sulu memakai pakaian biasa dan ada yang menyamar sebagai orang awam.
āMusuh Sulu ini suka lari-lari. Ada yang datang tunjuk muka kepada kita (anggota keselamatan) lepas itu lari. Apabila kita bercakap dengan orang awam kita harus berhati-hati kerana kadang-kadang ada musuh Sulu dalam kalangan mereka,ā katanya.