KUALA LUMPUR – Peguambela Datuk Seri Najib Razak kecewa dan marah dengan tindakan sebuah blog yang didakwanya menyebarkan fitnah berhubung kes perbicaraan bekas perdana menteri itu.
Malah Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, pihaknya tidak menyangka blog yang enggan dinamakannya ketika ini bertindak menyebarkan fitnah kepada masyarakat umum khasnya tentang kes SRC International.
Jelas beliau, ketika ini pihaknya akan menghantar aduan kepada Peguam Negara, Tommy Thomas juga telah menyampaikan perkara itu kepada Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali mengenainya kerana ia telah menjejaskan reputasi Najib.
“Saya akan cari blogger ini sehingga ke lubang cacing dan pastikan dia dijatuhkan hukuman penjara. Tidak akan sesekali berkompromi dengan penulisan seperti ini, pada saya ianya sesuatu yang sangat dahsyat sepanjang karier saya.
“Saya akan panjangkan isu kepada kepada AG, saya mahu tengok jika beliau ambil tindakan atau tidak kerana ini adalah sesuatu yang amat serius. Walhal perkara yang begitu ‘kecil’ sekalipun, Tommy cuba ambil tindakan terhadap saya dan anak guam saya sebelum ini.
“Jika tidak ada apa-apa dilakukan oleh beliau, saya tidak sesekali teragak-agak untuk ambil tindakan seterusnya.
“Saya mahu tengok blog dan blogger ini dijatuhi hukuman paling tegas. Banyak fitnah dan cerita tidak betul telah ditaburkan oleh blogger ini untuk di jadikan tatapan pembaca. Sesuatu yang tidak betul dengan gambaran buruk sekali.
“Adalah sesuatu yang tidak patut, sebelum selesai kes ini, sebelum dijatuhi hukuman atau keputusan, blogger itu sudah jatuhkan hukumannya sendiri di mata rakyat. Apa punya blog apabila menulis pelajar-pelajar jurusan undang-undang tahun pertama sendiri akan tahu Najib bersalah daripada awal lagi.
“Blog ini juga menuduh pasukan peguambela mereka-reka bukti bagi kes dan banyak lagi fakta telah dimanipulasi. Pada saya, hukuman itu pasti, saya akan pastikan dia di penjara walau apa pun sebagai pengajaran kepada yang lain supaya jangan sekali melampau batas,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sejurus selepas selesai perbicaraan kes SRC International ditutup oleh pasukan pendakwaan dan diberikan masa sehingga 24 September ini mengemukakan hujah bertulis manakala 22 dan 23 Oktober untuk hujah lisan hari ini.
Melalui pengamatan MalaysiaGazette, blog berbahasa Inggeris tersebut masih lagi aktif selain mempunyai senarai artikel-artikel berkaitan Najib serta keluarga beliau selain membuat rumusan sendiri berhubung kes SRC International dan 1MDB.
Sementara itu, Muhammad Shafee juga melahirkan sedikit kegusarannya tentang bagaimana anak guamnya ‘dilayan’ sepanjang perbicaraan kes berprofil tinggi yang membabitkan penyewelengan sebanyak RM42 juta itu.
Kata Muhammad Shafee, beliau ada meminta ihsan hakim serta Peguam Negara supaya menyediakan kusyen yang boleh digunakan Najib untuk duduk selesa ketika perbicaraan yang memakan masa berjam-jam setiap hari.
“Sebenarnya ini tidak adil, mengapa anak guam saya diperlakukan seperti ini? Seperti binatang, seperti seseorang yang telah terbukti kesalahannya.
“Bayangkan, anak guam saya ini sudah berusia, apa jadi kepada beliau duduk berjam-jam di atas kerusi kayu itu? Adakah adil? Beliau sendiri mengadu sakit punggung kepada saya.
“Bayangkan jika keluarga anda (pemberita) perlu melalui perkara sama, adakah anda akan berdiam diri?” soalnya. – MalaysiaGazette