KUALA LUMPUR – Status penduduk tetap (PR) yang dimiliki penceramah agama dari India, Dr. Zakir Naik diberikan kepadanya ketika Tan Sri Muhyidin Yassin menggalas jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan untuk memberikan status berkenaan kepada Zakir dilakukan pada tahun 2015 selepas permohonan dibuat sebelum tahun tersebut.
Beliau juga menyeru kepada semua pemimpin parti dalam Pakatan Harapan (PH) menghormati pendirian Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk tidak mengekstradisi Zakir.
“Keputusan yang cukup jelas untuk menjawab dakwaan-dakwaan yang dibuat oleh menteri-menteri dan pemimpin-pemimpin dalam PH,” katanya seperti dipetik laporan FreeMalaysiaToday di sini hari ini.
Sebelum ini, Dr. Mahathir berkata, kerajaan boleh menarik balik status PR Zakir jika dia didapati mengganggu-gugat keamanan negara.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid menafikan bahawa UMNO dan PAS cuba mempergunakan penceramah agama tersebut untuk kepentingan politik. – UTUSAN ONLINE