KEPALA BATAS – Sejak kecil, Mohd. Merdeka Ismail yang dilahirkan pada 31 Ogos 1957 sering diejek dan dijadikan topik gurauan oleh kawan-kawan kerana namanya yang dianggap pelik sehingga beliau berasa malu dengan nama itu.
Tetapi kini, Mohd. Merdeka merasakan nama yang diberikan oleh bidan kampung yang menyambut kelahirannya pada 7 pagi di Tasek Gelugor, membawa tuah apabila sering mendapat peluang yang tidak pernah dirasai oleh orang lain, sekali gus membuatkannya berasa bangga kerana memiliki nama yang serupa dengan hari kemerdekaan negara.
“Dulu, masa kecil saya rasa malu dengan nama ini tetapi lama-kelamaan perasaan itu hilang dan kini saya berasa bangga dengan nama ini kerana dapat menyambut hari lahir sama dengan sambutan kemerdekaan negara,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini.
Tambahnya, disebabkan namanya, beliau telah berpeluang menjejakkan kaki ke Istana Negara, Kuala Lumpur apabila dijemput Yang di-Pertuan Agong ke-13, Sultan Mizan Zainal Abidin, pada 2007 melalui Himpunan Anak-Anak Merdeka di seluruh negara.
Mengimbas kembali kenangan manis bergelar anak merdeka ditambah lagi mengabadikan perkataan merdeka pada namanya, Mohd. Merdeka berkata, beliau kerap mendapat habuan istimewa disebabkan keunikan namanya.
Beliau berkata, ramai yang tidak tahu nama itu telah menjadikannya seperti seorang yang terkenal umpama selebriti kerana pernah beberapa kali dijemput untuk hadir ke majlis sambutan ambang kemerdekaan.
“Selain nama, tarikh lahir saya juga senang diingati dan mendapat cuti umum setiap tahun. Saya akan mengadakan majlis kesyukuran setiap tahun bersama ahli keluarga pada hari itu,” kata nelayan di Penaga itu.
Bapa kepada seorang anak perempuan itu juga berkata nama ini membuatkan semangat cintakan negara menjadi lebih utuh dan berharap keharmonian yang dicapai dapat dirasai sampai bila-bila.
“Saya akan cuba tiap-tiap tahun menghiaskan rumah dengan Jalur Gemilang untuk berkongsi semangat patriotik serta cintakan tanah air di samping menghargai jasa pejuang terdahulu yang berkorban untuk negara,” katanya.