KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahatihir Mohamad mendakwa tindakan dan kenyataan yang dikeluarkan penceramah agama dari India, Dr. Zakir Naik seolah-olah menunjukkannya mahu melibatkan diri dalam politik negara.
Perdana Menteri berkata, ini kerana, kenyataan yang digunakan Zakir jelas disifatkan sebagai membangkitkan rasa perkauman dalam kalangan rakyat di negara ini.
“Oleh itu, bagi saya, ia sangat bahaya. Saya fikir, Zakir patut disiasat.
“Segala apa tindakan yang diambil akan berdasarkan undang-undang sedia ada,” katanya seperti dipetik laporan FreeMalaysiaToday dalam sidang akhbar di satu kongres antarabangsa di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.
Dalam pada itu, Dr. Mahathir menegaskan penceramah agama asing dialu-alukan berceramah, bagaimanapun tidak patut mencampuri urusan politik negara.
“Kerajaan Malaysia juga sentiasa berhati-hati dalam kenyataannya dengan mengambil kira sensitiviti pelbagai kaum.
“Saya tak pernah sebut ‘Cina balik China’ atau suruh Melayu kata kepada Cina, suruh mereka balik,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE