KUALA LUMPUR – Pendakwah terkemuka, Dr. Zakir Naik mengemukakan notis tuntutan terhadap Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran bagi menuntut menteri itu membetulkan kenyataan dan memohon maaf berhubung kenyataan media yang dikeluarkan bertajuk “Zakir Naik’s presence in Malaysia is embarrassing to all Malaysians”.
Penguambela dan Penguamcara Akberdin & Co. yang mewakili Zakir berkata, notis tuntutan saman itu telah dihantar ke Pejabat Kementerian Sumber Manusia di Putrajaya hari ini.
Antara lain, surat itu menuntut Kula Segaran membuat permohonan maaf, menarik balik artikel dan berhenti daripada mengeluarkan sebarang kenyataan berunsur fitnah dan tidak benar terhadap beliau serta membayar ganti rugi serta kos perbelanjaan dalam tindakan itu.
“Segala tuntutan yang dibuat oleh anak guam kami itu hendaklah diterbitkan dalam laman web dan media sosial dan dalam tempoh masa 48 jam.
“Sekiranya mereka gagal maka kami akan meneruskan prosiding mahkamah dengan memfailkan injunksi bagi menghalang sebarang penerbitan lanjut berhubung isu berkenaan terhadap Dr. Zakir,” katanya.