KUALA LUMPUR – Sekali lagi kartunis yang terkenal dengan satira politik, Zunar tampil membuat lakaran mengkritik situasi terkini negara dan kali ini beliau menampilkan karya bertajuk ‘Malaysia tidak selamat’.
Ada yang membuat telahan, sentuhan terbaharu itu berinspirasikan insiden seorang gadis dikenali sebagai Thivyah Velurajan menelefon 999 namun diminta menghubungi bilik gerakan untuk bantuan segera ketika keluarganya didatangi sekumpulan perompak bersenjata.
Insiden yang berlaku di Rawang pada 4 Ogos itu menyebabkan beberapa anggota keluarga gadis itu ditetak menggunakan parang dan diperlakukan tanpa perikemanusian, peliknya mereka tidak mendapat bantuan walaupun mendail 999.
Zunar atau Zukiflee Anwar Haque melukis kartun tersebut sambil meletakan beberapa sebab mengapa Malaysia sudah dianggap tidak selamat lagi.
Antaranya persoalan dan dakwaan beliau termasuk, 999 is not working, polis tidak serius tangani jenayah, bahaya di mana-mana, rompak ragut bunuh pecah rumah rogol semakin menjadi-jadi.
Selain itu, kata Zunar, ke mana mahu mengadu, kanak-kanak sekolah wanita hidup dalam ketakutan, kerajaan sibuk hendak buat kereta, ahli politik sibuk bergaduh, orang agama sibuk buat fatwa.
Lukisan berwarna warni itu di juga menunjukkan lakaran seorang wanita seperti berada dalam ketakutan.
Kartun tersebut juga mendapat komen netizen yang memuji lukisan itu kerana ianya sungguh menepati situasi di Malaysia ketika ini. – MalaysiaGazette