MAHU minum bubble tea tetapi mengapa harus ke Taiwan? Mudah sahaja.
Ini kerana bubble tea atau pearl tea yang menjadi kegilaan di Malaysia semenjak dua ini sebenarnya berasal dari negara berkenaan.
Ia mula diperkenalkan sejak 1980-an lagi di sana.
Justeru, andai anda peminat teh bubble dan pada masa yang sama seorang kaki jalan, apa kata satukan kedua-dua minat anda dan berkunjung ke negara asal bubble tea yakni Taiwan.
Namun, kot iye minat pun, jangan main terjah sahaja mana-mana kedai yang anda jumpa andai ke sana nanti. Ini kerana ada kedai bubble tea di negara berkenaan yang memasukkan alkohol dalam minuman mereka.
Jangan risau, anda masih berpeluang merasa bubble tea di tanah tumpah kelahirannya pada masa yang sama menjaga hukum agama dengan makan dan minum makan yang bersih.
Laman web HHWT, yakni singkatan kepada have halal will travel (ada halal akan pergi melancong) berjaya mengesan dan menyiarkan 10 gerai atau restoran yang menjual bubble tea yang sesuai dengan kehendak pengunjung Islam di Taiwan.
Berikut adalah 10 gerai yang dimaksudkan itu, anda boleh Waze atau bertanya pemandu pelancong anda nanti.
1. Ching Shin Fu Chuan Tea Station
Ditubuhkan sejak 1987, Ching Shin Fu Chuan adalah salah satu kedai dengan rangkaian terbesar di Taiwan. Ia memiliki lebih 900 cawangan di seluruh pulau itu. Menurut beberapa pakar teh, rangkaian kedai ini menggunakan teh berkualiti premium dan bahan-bahan yang segar sahaja.
Untuk penulis sebutkan semua cawangan itu agak mustahil. Namun dengan 900 cawangan, rasa tak sukar untuk pelancong menemuinya.
2. 50 Lan
Singkat aje namanya kan. Namun kenikmatan rasanya tidak sesingkat itu. Kalau dah mula minum, pasti tak mahu berhenti.
Seperti kedai di atas, 50 Lan juga banyak cawangannya. Salah satu yang utama adalah seperti di bawah.
Alamat: No. 48-4, Xining South Road, Wanhua District, Taipei City, Taiwan 108.
Nombor Telefon: +886 2 2311 5937.
Waktu operasi: 10 pagi ke 10 malam setiap hari.
3. Jen Ju Dan
Minum bubble tea dengan biskut Oreo? Kalau tidak pernah, maka boleh mula di kedai ini. Penulis tak sempat cuba lagi tetapi yakin ia pasti sedap rasanya.
Alamat: No. 11, Section 1, Kaifeng St, Zhongzheng District, Taipei City, Taiwan.
Waktu Operasi: 10 pagi ke 10 malam setiap hari.
Nombor Telefon: +886 2 2331 2323.
4. Li Yuan Yuan
Andai berkunjung ke lokasi pelancongan di Tamsui, sambil menjiwai keindahan matahari terbenam, tambah kenikmatan bercuti anda dengan mencuba bubble tea di kedai yang terletak di Jalan Gongming ini. Antara kelebihan kedai teh ini ialah mereka menyediakan mutiara (pearl) baru setiap dua jam dengan satu tujuan, iaitu memastikan pelanggan mereka sentiasa merasa mutiara atau pearl yang segar sahaja!
Alamat: 251, Taiwan, Gongming Street, 16, Tamsui, Hszinpej.
Waktu Operasi: Isnin – Jumaat 12 tengah hari hingga 7.30 malam, Sabtu dan Ahad bermula 11.30 pagi hingga 8 malam.
Nombor Telefon: +886 2 2623 8123.
5. Xiao Zhu Zhu
Tengok gambar pun dah rasa terliur apatah lagi rasanya. Di sini anda boleh memilih mutiara rasa apa yang anda suka. Antara perasa yang ada ialah gula merah, matcha, teh merah, koko dan ubi keledek manis. Pilih satu rasa atau campurkan, semuanya boleh asalkan rasa sedap dan menepati kehendak jiwa anda.
Alamat: 9-10 Wenhua Road, Xitun District, Taipei, Taiwan.
Waktu Operasi: Isnin hingga Khamis dan Ahad 11 pagi hingga 9 malam. Jumaat dan Sabtu dari 11 pagi hingga 10 malam.
Nombor Telefon: +886 4 2451 3330.
6. Hei Lao Da – Hei Tang Bo Ba Xian Nai
Oklah, abaikan nama yang panjang dan sebutan macam nak panggil dewa turun ke bumi. Apa yang penting, ramai kata rasanya sedap. Di sini anda boleh bawak balik terus minuman teh sebab ia dihidangkan dalam plastik. Kan senang kerja tu.
Alamat: No. 17 Wenheng 1st Road, Xinxing District, Kaohsiung City, Taiwan.
Waktu Operasi: Setiap Hari, 12:00 tengah hari hingga 9.30 malam.
Nombor Telefon: +886 908 165 382.
7. Mr. Wish Xian Guo Cha Wan Jia
Ini pun namanya agak keterlaluan tetapi takpe, sebab ramai juga yang kata bahawa rasanya juga agak keterlaluan sedap. Jadi adil la kan, nama dan rasa sama menarik. Ini bubble tea yang bersifat alternatif sikit kerana ia lebih menyihatkan. Semua bahan mereka hanya menggunakan tumbuhan dan pemiliknya hanya menggunakan air tebu asli, buah-buahan dan susu segar sahaja.
Alamat: No. 14, Lane 130, Section 3, Minsheng East Road, Songshan District, Taipei City, Taiwan.
Waktu Operasi: Isnin hingga Jumaat dari 9 pagi hingga 9 Malam. Sabtu dan Ahad dari 11 pagi hingga 7 malam.
Nombor Telefon: +886 2 2716 1218.
8. Hu Juice Bar
Ok, kita balik kepada nama kedai yang simple. Namun rasanya tidak simple, rasanya sangat sedap menurut beberapa review makanan dan minuman. Lebih bersifat seni dalam penyediaan dan rupa tanpa ada kompromi ke atas rasa yang dihidangkan. Minuman signature di sini ialah Charcoal Milk Tea with pearls atau teh arang dengan mutiara. Jangan tanya penulis apa rasanya, pergilah cuba sendiri, alamat ada di bawah.
Alamat: No. 2, Lane 451, Park Road, North District, Tainan City, Taiwan
Waktu Operasi: Isnin dan Selasa, Jumaat hingga Ahad dari 2 petang hingga 10 malam. Ditutup hari Rabu.
9. Cha Yi Fu Xing Fa Shi Nai Cha – Jian Gong Dian
Baik, kita kembali kepada nama panjang dan pelik tetapi rasa hebat tiada tandingan. Kalau ke Kaohsiung, jangan lupa untuk singgah di sini.
Alamat: 452 Jianong Road, Sanmin District, Kaohsiung, Taiwan.
Waktu Operasi: Setiap hari, 10:00 pagi hingga 10:00 malam.
Nombor Telefon: +886 7 381 7888.
10. Huang Jin Zhen Zhu Nai Cha
Kedai ini dikenali bukan sahaja sebab rasanya yang sedap, tetapi harganya juga yang murah. Tidak banyak kedai teh di Taiwan yang mampu menandingi rasanya. Rasa teh mereka ada kelainan dengan rasa madu berbanding gula merah semata-mata.
Bagaimana? Sudah terbuka selera untuk mencuba bubble tea di tanah kelahirannya? Tunggu apa lagi, rancang perjalanan anda ke Taiwan yang bukan sahaja menakjubkan tetapi juga mesra muslim.
PEMBERITAHUAN: Pihak HHWT memaklumkan di laman web mereka, kesemua kedai-kedai ini tidak memiliki sebarang pengesahan halal yang rasmi. Namun, mereka telah melakukan penyelidikan sendiri dan mengesahkan semua kedai-kedai ini tidak menghidangkan bubble tea mengandungi alkohol. Mutiara minuman yang digunakan pula dibuat menggunakan tepung ubi dan bebas produk haiwan. Justeru itu, pihak HHWT menyarankan kepada pelancong muslim agar mengguna hemah dan penilaian sendiri sama ada mahu minum atau tidak di kedai-kedai yang dinyatakan di atas. – Mynewshub.TV