KUALA LUMPUR – Aliran trafik di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban menghala ibu negara sesak lebih lima kilometer akibat kemalangan sebuah lori dan empat kereta hari ini.
Kemalangan kira-kira jam 6 pagi itu, dipercayai berlaku apabila sebuah lori yang membawa muatan air mineral dipercayai terbabas dan masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh empat kenderaan lain.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden berkenaan.
Lori yang dipandu, V Ramesh, 32, dipercayai terbabas dan mengakibatkan kemalangan apabila satu daripada tayar kenderaan itu pecah.
Difahamkan, dia bersama seorang lagi lelaki iaitu kelindannya dalam perjalanan ke Seremban, Negeri Sembilan.
Antara kereta yang terbabit dalam kemalangan itu adalah Honda City, Proton Persona, Perodua MyVi dan sebuah Mercedes-Benz.
Difahamkan, kerja-kerja mengalihkan semua kenderaan terbabit masih giat dijalankan di lokasi kejadian.