KUALA LUMPUR – Kisah perbalahan dua selebriti, Datin Paduka Eina Azman dan Datin Rebecca Al Islam kembali menarik perhatian peminat apabila ada isu baharu yang dimuat dalam Instagram milik Rebecca.
Menerusi kemas kini Insta Story, Rebecca berkata Eina telah membawa mulut bahawa pelakon, Uqasha Senrose cuba menggoda suaminya, Datuk Nor Azam Sulaiman.
Rebecca turut memuat naik mesej yang diterima daripada Uqasha yang bertanya tentang khabar angin mendakwa dia cuba menggoda suami Rebecca ketika menumpang tidur di rumahnya.
“Saya terkejut menerima mesej daripada Uqasha yang saya anggap seperti adik sendiri tentang hal ini.
“Patutlah dia sudah lama menjauhkan diri daripada saya, inilah puncanya,” tulisnya lagi.
Walau bagaimanapun, Rebecca berkata, dia tetap mendoakan yang terbaik buat bekas rakannya itu dan memohon agar Eina berhenti mengganggu kehidupannya.
Sementara itu, Eina menerusi akaun Instagramnya seolah-olah memberi kenyataan balas apabila memuat naik foto tentang hukum serta dosa menyebarkan fitnah.
Pelakon Rahsia Hati Perempuan itu turut memuat naik kata-kata semangat dari sahabatnya yang meminta agar dia tidak mempedulikan orang yang cuba menjatuhkannya.
Terdahulu, hubungan Rebecca dan Eina yang pada mulanya bersahabat karib dikatakan renggang sejak awal tahun 2018 dan sering berperang dingin dalam media sosial.
Eina dikatakan pernah memerli gelaran Datin milik Rebecca sebagai ciplak, manakala Rebecca membalas dengan menyindir Eina seorang Datin muda yang berwajah pucat seperti mayat. – K! ONLINE