KUALA LUMPUR – Harga makanan yang lebih tinggi telah menyebabkan Indeks Harga Pengguna (IHP) yang digunakan untuk mengukur barangan pengguna di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Selangor, Putrajaya dan Perak melebihi kadar inflasi negara pada Ogos lalu.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, Kuala Lumpur mencatatkan kenaikan harga yang paling tinggi iaitu kenaikan sebanyak 2.4 peratus diikuti Pulau Pinang (dua peratus), Selangor, Putrajaya (1.8 peratus) dan PeÂrak (1.6 peratus). Kesemua neÂgeri itu melebihi kadar IHP negara 1.5 peratus tahun lalu.
Antara indeks barangan yang menunjukkan kenaikan harga di kebanyakan negeri adalah bawang putih (16.3 peratus), cili hijau (15.2 peratus), tomato (14.5 peratus), kerang (14.1 peratus), yogurt (13.7 peratus), cili merah (13.3 peratus) dan kubis bulat (11.7 peratus).
“Bagi harga makanan di luar, ia mencatat kenaikan 4.4 peratus pada Ogos 2019 berbanding Ogos 2018. Antara barang itu yang mengalami kenaikan harga ialah burger, ayam goreng, pizza dan makanan laut selain ikan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kuala Lumpur mencatatkan peningkatan tertinggi bagi indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol sebaÂnyak empat peratus yang mana secara keseluruhan indeks kumpulan itu menunjukkan peningkatan 2.3 peratus pada Jun 2019.
IHP meningkat 1.5 peratus pada Ogos 2019 kepada 121.8 mata berbanding 120.0 mata pada bulan yang sama 2018.
Daripada 552 item yang diliputi di dalam IHP, 396 item menunjukkan peningkatan paÂda Ogos 2019 berbanding Ogos 2018, manakala 117 item mencatatkan penurunan dan 39 item lain tidak berubah.
Sementara itu, IHP bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini mencatatkan peningkatan sebanyak 0.5 peratus berbanÂding tempoh yang sama 2018.