SHAH ALAM – Permohonan Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas untuk menukar semula notis rayuan jenayah kepada rayuan sivil berhubung prosiding komital (menghina mahkamah) yang difailkan Mohd. Kassim Abdul Hamid iaitu bapa kepada anggota bomba, Muhammad Adib ditolak oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Peguam mewakili Mohd Kassim, Abi Mursyidin Awal berkata, prosiding komital itu diteruskan sebagai rayuan jenayah seperti diputuskan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi ketika pengurusan kes pada Isnin lalu.
Menurutnya, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Meor Hashimi Abd. Hamid menetapkan 22 November depan sebagai tarikh perbicaraan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Koroner pada 27 Ogos lalu yang membenarkan permohonan komital terhadap Peguam Negara itu.
“Pada tarikh berkenaan juga akan didengar bersama permohonan pihak responden ( Mohd. Kassim) untuk membatalkan notis rayuan yang difailkan pihak Peguam Negara sebelum ini.
“Meor Hashimi turut memerintah plaintif memfailkan petisyen rayuan pada atau sebelum 7 Oktober serta memfailkan afidavit jawapan pada atau sebelum 10 Oktober ini,” katanya di sini hari ini.
Abi Mursyidin memberitahu, mahkamah turut menetapkan 24 Oktober depan sebagai tarikh untuk pihak respondan dan plaintif memfailkan hujahan manakala tarikh keputusan ditetapkan pada 25 November.
Terdahulu, pihak plaintif membuat permohonan lisan supaya menukar rayuan jenayah yang diputuskan Isnin lalu ditukar kepada rayuan sivil.
16 Julai lalu, bapa anggota bomba Muhammad Adib, Mohd. Kassim Abdul Hamid memfailkan prosiding komital terhadap Peguam Negara, Tommy Thomas atas kenyataannya berhubung kematian Muhammad Adib November tahun lalu.
Perkara itu dimaklumkan peguam mewakili keluarga mangsa, Kamaruzaman A. Wahab dihadapan Koroner Rofiah Mohamad.
Pemfailan komital itu dibuat berikutan afidavit yang difailkan Jabatan Peguam Negara dan disahkan oleh bekas Timbalan Pendakwa Raya, Hamdan Hamzah menyatakan bahawa kematian Muhammad Adib bukan akibat dipukul oleh mana-mana orang, pada 3 April lalu.