KUALA LUMPUR – Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu (MAS) mendakwa proses pembangunan di Kampung Baru di sini tidak dibincangkan secara menyeluruh bersama penduduk.
Malah Setiausaha Kehormat MAS, Shamsuri Suradi, 69, turut mempersoalkan mengapa MAS tidak dipanggil pada sesi townhall Menteri Wilayah Persekutuan Bersama Pemilik Tanah Kampung Baru di Dewan Perdana Felda, kelmarin.
“Panggil MAS dan kita majukan bersama. Jangan cakap (pembangunan) ini untuk orang Melayu, jangan cerita esok mereka ada rumah sendiri. Itu perkara kedua, pokoknya masa depan orang Melayu ini.
“Kita jangan tenggelam dengan tawaran RM850 (satu kaki persegi). Perkara utama ialah masalah lain yang timbul. Jangan pula lepas terima duit kemudiannya mereka termenung,” katanya ditemui semalam.
Menurutnya, sesi townhall yang diadakan juga hanya membincangkan mengenai tawaran harga sedangkan ada isu yang lebih penting daripada itu.
“Kesimpulannya, kita lihat sesi townhall itu tidak berjalan dengan baik. Ertinya hanya untuk sebelah pihak.
“Ramai yang tidak tahu bahawa sekiranya mereka terima RM6 juta (setiap plot tanah) dapatkah mereka duduk di sini? Di mana hal orang Melayu (Kampung Baru) yang sudah terperangkap di sini lebih 100 tahun?” soalnya.
Sementara itu, seorang penduduk, Mohd Miswan Suradi, 72, pula memaklumkan bahawa kebanyakan tanah di kampung berkenaan dimiliki lebih daripada seorang pemilik yang disebut sebagai pemilikan bertindih.
Menurutnya, pelbagai pandangan timbul mengenai perkara itu namun apa yang paling penting di mana penduduk asal Kampung Baru akan tinggal selepas ini.
“Mereka dalam keadaan serba salah. Kalau harga dijual rendah sudah pasti ramai tidak setuju tetapi sekiranya tanah mereka dibeli pada harga mahal adakah orang Melayu mampu beli tanah ini semula,” soalnya.
Kerajaan sebelum ini memberi jaminan sekiranya pembangunan semula Kampung Baru dilaksanakan dan tidak mampu dibeli orang Melayu, tanah berkenaan tidak akan dibuka kepada bukan Melayu atau ditukar status kepada pegangan bebas (freehold).
Ini kerana, Kampung Baru tidak akan dijual kepada bukan Melayu seperti termaktub dalam Akta 733 Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu. – Sinar Harian