PETALING JAYA – “Selepas menonton video tersebut, apa saya boleh nyatakan itu bukan Farid Kamil sebenar yang berada dalam keadaan mengaibkan. Malah saya rasa teraniaya, terancam dan tidak dapat menerima kenyataan apabila video yang tersebar di YouTube itu turut ditonton oleh ahli keluarga saya.”
Itu kata pelakon filem Lagenda Budak Setan, Datuk Farid Kamil Zahari yang tidak mampu menahan sebak ketika ditanya peguam belanya, Datuk Amirul Ridzuan Hanif pada hari kedua perbicaraan peringkat bela diri di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Ketika prosiding di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham, Farid Kamil, 38, memaklumkan video tersebut diambil secara langsung oleh rakan artisnya selepas menerusi aplikasi Bigo sebelum dimuat naik dalam YouTube oleh artis berkenaan.
“Video berkenaan diambil selepas saya berasa pening dan kering tekak akibat menghisap sebatang lagi rokok balut yang dipelawa oleh seorang lagi kenalan yang dikenali saya pada hari sebelumnya.
“Pada awalnya, saya kembali ke tempat pengambaran milik rakan artis dengan bantuan adik dan seorang lagi rakannya untuk mengambil barangan peribadi dan kenderaan saya sebelum mereka berdua muncul,” katanya.
Jelasnya, mereka kemudian bertanyakan soalan-soalan yang membuatkan saya berasa tertanya-tanya sedih dengan apa yang berlaku pada malam sebelumnya sambil berkata, “Apa yang kau merepek malam tadi?”
Pada 16 Januari tahun lalu, Farid Kamil berdepan empat pertuduhan iaitu mendatangkan kecederaan kepada seorang orang awam dan anggota polis, menghalang anggota polis menjalankan tugas dan berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan-perkataan-perkataan kesat.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di kaunter pertanyaan Balai Polis Trafik Kota Damansara kira-kira pukul 1.20 petang, 11 Januari 2018.
Perbicaraan bersambung petang ini. – UTUSAN ONLINE