KUALA LUMPUR – Satu laporan polis telah dibuat berhubung beberapa kenyataan tidak bertanggungjawab yang dimuat naik ke media sosial oleh beberapa individu berhubung satu kejadian melepaskan tembakan oleh pihak polis di Bayan Lepas, Pulau Pinang baru-baru ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, laporan berkenaan dibuat oleh pegawainya sendiri bagi membolehkan siasatan lanjut berhubung perkara tersebut diteruskan.
“Ada pihak tidak bertanggungjawab memuat naik artikel yang sangat jelas tidak tepat dengan niat menyakitkan hati pembaca dan saya tidak ragu-ragu bahawa tujuannya amat buruk dengan niat untuk mencetuskan pergaduhan.
“Susulan itu, satu laporan polis telah dibuat dan beberapa individu yang telah dikenalpasti oleh Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman akan dipanggil bagi dirakamkan percakapan mereka dalam masa terdekat,” katanya pada satu sidang akhbar khas di Bukit Aman di sini hari ini.
Terdahulu, media tempatan melaporkan seorang lelaki tempatan maut ditembak polis selepas menetak dua individu di sebuah kilang membuat peralatan perubatan di Bayan Lepas, Pulau Pinang pada 23 September lalu.
Bagaimanapun, telah tular di laman sosial Facebook menyatakan bahawa kematian suspek disifatkan sebagai mati syahid berikutan tindakannya yang dikatakan membela Islam susulan penghinaan ke atas Nabi Muhammad S.A.W yang dibuat oleh mangsa yang ditetak olehnya.
Menurut Abdul Hamid, siasatan yang dilakukan berhubung kes berkenaan mendapati, kes tersebut adalah kejadian terpencil yang tidak melibatkan sebarang kumpulan atau individu lain.
“Suspek datang daripada keluarga yang baik namun telah terpengaruh dengan beberapa video bersifat ganas diterbitkan dari negara di Timur Tengah yang didakwa sebagai kekejaman ke atas orang Islam di sana.
“Jadi kita mesti berhati-hati dan elakkan daripada membuat tanggapan sendiri selepas melihat sesuatu video atau menerima maklumat yang tidak dapat dipastikan kesahihannya,” tegas beliau.
Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.