KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa bimbang dengan catatan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang tidak sihat di beberapa kawasan.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata baginda menasihatkan rakyat peka dengan kualiti udara dan mengambil langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan ke atas kesihatan, berikutan jerebu ketika ini.
Katanya, baginda juga mahu rakyat berpenyakit kronik, mengurangkan aktiviti fizikal di tempat terbuka dan menggunakan penutup hidung dan mulut sesuai, bagi mengurangkan pendedahan kepada jerebu, jika terpaksa berurusan di luar bangunan.
“Baginda bertitah rakyat jelata banyakkan minum air, di samping peka dengan tahap kesihatan masing-masing dan mendapatkan rawatan segera jika tidak sihat.
“Baginda turut menzahirkan harapan supaya aktiviti yang boleh meningkatkan pencemaran udara, khususnya pembakaran terbuka dielakkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Baginda bertitah, semua pihak tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah serta premis mereka diceroboh masuk sehingga menyebabkan pembakaran terbuka dilakukan oleh individu yang tidak bertanggungjawab.
“Baginda turut menyarankan supaya rakyat jelata mengikuti perkembangan semasa jerebu melalui laman-laman portal rasmi agensi kerajaan dan media arus perdana bagi mengelakkan penyebaran berita palsu,” katanya.
Sementara itu, setakat jam 4 petang tadi, situasi jerebu di negara ini masih tidak menunjukkan tanda berkurangan, apabila 17 lokasi di beberapa negeri mencatatkan skala bacaan IPU tidak sihat, pagi tadi.
Bacaan IPU di Johan Setia Klang, Selangor mula merekodkan IPU tidak sihat, berbanding sangat tidak sihat pagi tadi.
Bacaan IPU 0-50 menunjukkan kualiti udara sihat, 51-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak sihat), dan berbahaya jika melebihi 300.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) minggu lalu mengeluarkan kenyataan bahawa kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia menyebabkan jerebu merentas sempadan dan memberi kesan kepada peningkatan bacaan IPU di pantai barat Semenanjung Malaysia dan barat Sarawak.