SEPANG – Sebanyak 21 kenderaan mewah pelbagai jenama termasuk Lamborghini, dianggarkan bernilai RM12.2 juta dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam operasi khas di dua gudang di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.
Semua kenderaan terbabit yang dibawa masuk dari Jepun, dipercayai untuk mengelak dikenakan duti import dan semua pemilik kenderaan adalah orang kenamaan warga Malaysia.
Operasi khas oleh Unit 111, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Zon Tengah itu dijalankan pada 29 Mei lalu, hasil maklumat dan risikan bagi membanteras penyalahgunaan lesen import dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Semua kenderaan terbabit yang dibawa masuk dari Jepun, dipercayai untuk mengelak dikenakan duti import, semua pemilik kenderaan adalah orang kenamaan warga Malaysia
Antara kenderaan dirampas di gudang pertama adalah empat Toyota Estima, dua Mercedes-Benz dan masing-masing sebuah BMW dan Toyota Alphard, manakala kes kedua membabitkan enam Lamborghini dan tujuh Toyota Vellfire.
Timbalan Ketua Pengarah JKDM (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Azimah Abd Hamid, berkata anggaran jumlah nilai sitaan kes pertama adalah RM340,000 dengan jumlah duti/cukai sebanyak RM644,000, manakala kes kedua sitaan bernilai RM3.8 juta dengan jumlah duti/cukai sebanyak RM7.5 juta.
Beliau berkata, semua kenderaan itu berada dalam gudang dan masih belum didaftarkan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hampir dua tahun.
Katanya, salah sebuah syarikat pengimport kereta itu turut memalsukan dokumen lesen import dengan memalsukan tujuh kereta import berusia kurang daripada setahun dan selebihnya berusia melebihi lima tahun.
“Rampasan ini adalah terbesar bagi tahun ini di Lembah Klang dan semua pemilik kenderaan adalah orang kenamaan warga Malaysia dan siasatan masih dijalankan terhadap dua syarikat terbabit,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JKDM Zon Tengah KLIA di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Penolong Ketua Pengarah JKDM Zon Tengah, Datuk Zulkurnain Mohamed Yusuf dan Pengarah Operasi Perkastaman (Memangku) Zon Tengah KLIA, Aidid Tajuddin.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967 dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 135 (1)(a) Akta Kastam 1967.
Kesalahan pertama boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda nilai barangan atau RM50,000 mana lebih tinggi dan tidak melebihi 20 kali nilai barangan atau RM500,000 mana lebih tinggi atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
Bagi kesalahan kedua, denda tidak kurang daripada 20 kali nilai barangan atau RM100,000 mana lebih tinggi dan tidak lebih daripada 40 kali ganda nilai barangan atau RM1 juta mana lebih tinggi atau penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya.
Azimah berkata, siasatan awal mendapati kenderaan yang disita melanggar syarat Lesen Import dikeluarkan MITI yang mensyaratkan pengimportan kereta terpakai hanya dibenarkan bagi kereta berusia satu hingga lima tahun. – BH Online