KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan peningkatan kos Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) tidak boleh dinafikan sama sekali.
Beliau berkata, tidak timbul isu bersetuju atau tidak kerana projek mega itu sudah diteruskan, namun kos tersebut perlu diturunkan melalui pintu rundingan.
Malah tegasnya, perundingan kos itu juga boleh dilakukan susulan pengakuan bersumpah oleh saksi perbicaraan kes 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) di mahkamah baru-baru ini.
“Kita tidak boleh nafikan kos itu (ECRL) melambung dengan melampau dan dalam kenyataan bersumpah (saksi) dua minggu lalu di mahkamah, dikatakan wang itu digunakan untuk membayar sebahagian kerugian (1MDB) serta membiaya keperluan Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
“Ada rasional, jangan teruskan dengan kos lama kerana ada beberapa keterangan baharu (mahkamah) yang dibangkitkan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, beliau yang juga Pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen menyampaikan ucapan penggulungan resolusi Seminar Kemiskinan dan Kesenjangan di Malaysia: Melihat Kembali Takrifan dan Pelaksanaan di Bangunan Parlimen di sini hari ini.
Yang turut hadir Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon, Ahli Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ahli Majlis Penasihat Kerajaan, Prof. KS. Jomo.
Seminar itu diadakan susulan kenyataan oleh Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Berhubung Kemiskinan Tegar dan Hak Asasi Manusia, Prof. Philip Alsto mengenai kemiskinan tegar dan hak asasi manusia.
Malaysia menyuarakan rasa kecewa dengan kenyataan yang dibuat oleh Alston sebelum ini yang mendakwa negara ini mempunyai ‘kemiskinan yang ketara’ dan kadar kemiskinan sebenar adalah kira-kira 15 peratus.
Dalam pada itu, Anwar berkata, pihaknya mengambil kira semua pandangan hari ini supaya segala perbincangan dapat dimanfaatkan oleh setiap wakil rakyat.
“Saya mengambil kira semua pandangan dan kita akan masukkan dalam web rasmi Kaukus supaya (perbincangan) dapat dimanfaatkan dan dibaca oleh semua ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
“Ini kerana, perbahasan (Dewan Rakyat) pada Oktober ini akan hangat dengan Rancangan Malaysia Ke-12 dan Belanjawan 2020,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE