KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menetapkan sendiri jumlah pembayaran elaun yang akan diterima oleh Pengerusi dan Ahli Lembaga Penasihat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menurut bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Ahli Parlimen Pekan itu menetapkan pembayaran sebanyak RM120,000 setahun kepada Pengarah dan RM96,000 untuk ahli lembaga itu.
“Jumlah elaun ini telah ditetapkan sendiri oleh Najib atas kapasiti beliau sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat. Setelah jumlah ini diluluskan oleh Najib, barulah kami akan membawa masuk ke dalam mesyuarat BOD untuk dimuktamadkan kelulusannya,” katanya.
Sementara itu, merujuk kepada pembayaran `Directors’ Fee’, saksi pendakwaan kesembilan itu menyatakan jumlah yang diminta bagi tujuan tersebut sebenarnya dicadangkan oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dan dipersetujui oleh Najib.
“Kelulusan bayaran kepada Ahli Lembaga Pengarah berkuat kuasa pada 1 April 2011 untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac 2011. Saya sahkan bahawa amaun-amaun ini dibayar dan diterima oleh kesemua Ahli Lembaga Pengarah 1MDB secara tahunan sejak dari tarikh ia dikuatkuasakan dan seingat saya, tiada pindaan amaun baru dibuat selepas dari itu,” ujar Shahrol Azral.
Menurut 1MDB bertarikh 2 Februari 2012 berkenaan 1MDB – Directors’ Fees, berikut adalah jumlah bayaran yang diterima oleh Ahli Lembaga Pengarah:
i. Tan Sri Che Lodin Bin Wok Kamaruddin (Pengerusi 1MDB): RM230,000.00
ii. Datuk Ismee Ismail (Pengarah 1MDB) : RM179,000.00
iii. Dato’ Ong Gim Huat (Pengarah 1MDB) : RM179,000.00
iv. Shahrol Azral Ibrahim Halmi (Pengarah 1MDB): RM179,000.00
v. Ashvin Jethanand (Pengarah 1MDB): RM179,000.00
Saksi itu berkata demikian pada perbicaraan hari ke-13 kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang didakwa atas 25 pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram dan salah guna kedudukan membabitkan penyelewengan dana syarikat RM2.28 bilion.
Perbicaraan tersebut didengar di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah. – UTUSAN ONLINE