GERIK – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan penuh terhadap insiden kematian melibatkan seorang komando semasa melakukan tugasan rasmi di Kem Lok Kawi, Sabah, semalam.
Menyifatkan insiden itu sebagai malang tidak berbau, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata siasatan dijalankan mengikut prosedur bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
“Saya yakin ada prosedur operasi standard (SOP) dan kemungkinan bukannya terlepas pandang. Ia (pertunjukan) telah diatur seeloknya namun ia (kemalangan) tetap berlaku,” katanya kepada pemberita selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Kontinjen Perak 2019 di sini, hari ini.
Seramai 300 pesara dan 200 pegawai berkhidmat dalam PDRM menerima pingat masing-masing bagi menghargai jasa serta pengorbanan mereka kepada negara.
Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Mejar Mohd Zahir Armaya, 36, pegawai komando dari Pasukan 11 Rejimen Gerak Khas, meninggal dunia selepas dipercayai tertembak sewaktu gimik pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Div) dan Briged ke-13 Infantri Malaysia.
Abdul Hamid berkata Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan keluarga Allahyarham tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan tanpa fakta dan pada masa sama meminta orang ramai agar tidak melontarkan komen-komen berunsur penghinaan sehingga melanggar undang-undang.
“Pesuruhjaya Polis Sabah akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat (mengenai perkembangan kes),” katanya sambil menambah pasukan khas PDRM sentiasa memantau media sosial dan tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap individu yang menyalahgunakan hak kebebasan bersuara.