KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah mengenalpasti tiga individu yang bertanggungjawab menularkan kenyataan tidak benar berhubung kejadian seorang suspek amuk yang ditembak mati di Bayan Lepas, Pulau Pinang pada 23 September lalu.
Ketua Penolong Pengarah Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5 Pendakwaan/Undang-undang, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner, Mior Farid Al Atrash Wahid berkata, ketiga-tiga suspek yang telah dikenalpasti itu berusia dalam lingkungan 35 ke 40-an.
“Satu laporan polis berhubung penyebaran kenyataan tidak benar itu telah diterima pada petang semalam dan siasatan yang dilakukan telah berjaya mengenalpasti tiga suspek lelaki yang dua daripadanya berada di Kedah manakala seorang lagi di Pulau Pinang.
“Siasatan lanjut yang dilakukan juga mendapati ketiga-tiga individu ini tidak mempunyai sebarang kaitan dengan suspek utama yang mati ditembak tempoh hari,” katanya pada satu sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.
Terdahulu, polis menembak mati seorang lelaki tempatan selepas menetak dua rakan sekerjanya di sebuah kilang di Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Susulan kejadian itu, beberapa kenyataan telah dimuat naik di sosial media yang mendakwa suspek bertindak demikian sebagai reaksi kepada penghinaan ke atas Nabi Muhammad S.A.W yang dibuat oleh salah seorang mangsa yang ditetak.
Menurut Meor Farid, tindakan mengesan ketiga-tiga individu berkenaan sedang giat dilakukan dan turut menegaskan bahawa kenyataan yang dibuat oleh mereka adalah tidak benar.
“Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini, suspek yang mati ditembak itu mempunyai masalah mental dan terpengaruh dengan video-video keganasan dari Timur Tengah.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak mengapikan atau mungkin mengapikan mana-mana golongan atau kaum melakukan sesuatu kesalahan terhadap mana-mana golongan atau kaum lain,” katanya.