Monday, November 25, 2024

Creating liberating content

Pahang Lulus 73 Permit...

LIPIS - Kerajaan negeri meluluskan permit penggunaan tanah seluas 146 hektar kepada 73...

Zon Industri Di Sabah...

KOTA KINABALU - Zon-zon perindustrian di Sabah mencatatkan pencapaian yang baik setakat Julai...

JPAM T’ganu Tak Menang...

KUALA TERENGGANU - Ketika musim banjir ini, kakitangan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM)...

UMNO Johor Lantik Shahrir...

JOHOR BAHRU - UMNO Johor melantik Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir...

‘Prank’ Ubah Perjalanan Hidup Siti Aisyah

JAKARTA – “Saya tidak tahu apa yang telah saya lakukan. Mereka berjanji akan menjadikan saya seorang bintang.

“Saya berasa bodoh kerana terlalu mudah percaya, sebelum semua ini berlaku saya tidak mengenali siapa Kim Jong-un dan saya berasa kesal dengan apa yang berlaku terhadap Kim Jong-nam.

“Sekiranya saya boleh mengundurkan kembali masa, saya tidak akan bersetuju untuk melakukannya.”

Begitulah antara kata-kata Siti Aisyah yang menjadi terkenal di seluruh dunia kerana penglibatannya dalam kes pembunuhan Kim Jong-nam, abang kepada Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa (klia2) kira-kira jam 9 pagi pada 13 Februari 2017.

Bercakap kepada Daily Mail yang menjejakinya di kampungnya di Indonesia, Siti Aisyah buat pertama kali bersetuju untuk menceritakan kisahnya.

Berasal dari sebuah kampung kecil, anak bongsu dari tiga beradik itu meninggalkan bangku sekolah ketika berusia 12 tahun lalu, berkahwin pada usia 17 tahun dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki.

Namun perkahwinannya gagal gara-gara tabiat suaminya yang gemar berjudi dan berfoya-foya selain tidak memberikan nafkah.

Siti Aisyah kemudian meninggalkan anaknya di bawah jagaan keluarga mentua untuk mencari rezeki di Kuala Lumpur.

Pada tahun 2017, Siti Aisyah bekerja sebagai tukang urut di sebuah hotel sehinggalah dia bertemu dengan seorang pemandu teksi yang merubah perjalanan hidupnya.

Menurut Siti Aisyah, pemandu teksi itu mengatakan seorang pelanggannya dari Jepun sedang mencari seseorang yang boleh berlakon dalam rancangan realiti televisyen dan Siti Aisyah dilihat calon yang sesuai.

Ia membawa kepada pertemuan Siti Aisyah dengan James yang mengaku sebagai seorang penerbit televisyen Jepun yang membuat rancangan berbentuk ‘candid’ untuk platform YouTube.

Hakikatnya, James atau nama sebenarnya, Ri Ji U ialah seorang ejen Korea Utara.

Menceritakan kembali kerja pertamanya bersama James, Siti Aisyah berkata, dia dibayar untuk menghampiri tiga lelaki di sebuah pusat membeli-belah dan menyapukan minyak bayi ke muka mereka sebelum meminta maaf dan berlalu pergi.

Meskipun agak gementar ketika pertama kali melakukan ‘prank’ tersebut namun upah yang lumayan menyebabkan Siti Aisyah berasa seronok.

Rentetan itu, Siti Aisyah terus diminta oleh James untuk melakukan ‘prank’ serupa di beberapa lokasi lain.

“James berkata akan membawa saya ke Amerika malah saya memberikannya pasport saya supaya dia boleh menguruskan visa. Saya berasa amat teruja kerana beranggapan peluang ini akan mengubah hidup saya,” katanya.

Namun perkenalan dengan James tidak lama apabila Siti Aisyah diterbangkan ke Kemboja dan diperkenalkan dengan seorang lagi penerbit bernama Mr. Chang yang sebenarnya juga seorang ejen Korea Utara bernama Hong Song Hac.

“Saya tidak suka padanya (Mr. Chang), apabila dia serius saya menjadi takut,” kata wanita itu.

Bagaimanapun Siti Aisyah terus menjalankan ‘prank’ yang sama di Phnom Penh dan juga Kuala Lumpur.


Pada masa sama, ejen Korea Utara dilaporkan giat menjejak Jong-nam yang dianggap musuh kepada Jong-un. Kedua-dua mereka tidak sefahaman dan Korea Utara mengesyaki Jong-un menyalurkan maklumat kepada Amerika Syarikat.

Pada hari kejadian, Siti Aisyah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur untuk bertemu Mr. Chang bagi membincangkan ‘prank’ terbaharunya.

‘Prank’ kali ini sedikit berbeza kerana sasaran sudah ditentukan dan Siti Aisyah akan menjalankan tugas bersama seorang lagi ‘pelakon’.

Mr. Chang kemudian mengeluarkan sebuah botol kecil dan menuangkan cecair ke tangan Siti Aisyah dan menunjukkan kepadanya sasaran yang telah dikenal pasti.

“Mr. Chang memberitahu saya lelaki terbabit ialah bos besar di syarikatnya, dia seorang yang sombong dan garang.

“Oleh itu saya harus segera melarikan diri setelah melakukan ‘prank’,” katanya.

Menyoroti kembali detik itu, Siti Aisyah berkata, dia berada hampir dengan Jong-nam apabila rakan subahatnya, Thi Huong tiba-tiba datang dari arah lain dan meletakkan tangannya di mata Jong-nam.

Siti Aisyah dan Huong kemudian melarikan diri ke arah berlainan dan menuju ke tandas bagi membersihkan tangan masing-masing.

Sementara itu, Jong-nam bertarung nyawa akibat disapu agen saraf VX sebelum meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.

Kes pembunuhan berprofil tinggi itu menjadikan Siti Aisyah terkenal, dilayan seperti VIP selepas digugurkan daripada pertuduhan membunuh dan dipenjarakan lebih dua tahun, dia diterbangkan pulang menggunakan jet peribadi dan dibawa berjumpa Presiden Indonesia, Joko Widodo.

Siti Aisyah dilepaskan tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 11 Mac lalu.

Selama dua bulan Siti Aisyah diberikan kawalan ketat sehinggalah risiko keselamatan berkurangan.

Apa yang dikesalkan sepanjang ketiadaannya ialah dia tidak dapat melihat anaknya, Rio membesar. Ketika Siti Aisyah ditahan Rio baru berusia tujuh tahun.

“Saya terpaksa menerima hakikat saya mudah tertipu dan saya berasa marah terhadap James dan Mr. Chang kerana telah meluahkan pelbagai cerita peribadi namun mereka meletakkan saya dalam situasi ini tanpa mempedulikan sama ada saya hidup atau mati,” kata Siti Aisyah.

Kini, Siti Aisyah, 27, sedang belajar untuk menjadi pakar kecantikan dan mahu melupakan segala ‘kemasyhuran’ silam.

“Saya mahu masa depan yang lebih baik dan mungkin juga berkahwin sekiranya saya menemui lelaki yang baik,” katanya. – Agensi

Kategori