KUALA LUMPUR – Beberapa buah bank didakwa cuba mengaut keuntungan besar apabila mengenakan caj pada perkhidmatan di kaunter dan mesin deposit tunai (CDM) bagi pembayaran bil kad kredit.
Hal demikian mendapat reaksi bekas Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim yang menyifatkan caj tersebut sebagai keterlaluan dan membebankan pengguna terutama golongan B40.
“Sedar-sedar Facebook baharu lapor – setiap khidmat kaunter bank kini kena caj RM2? Kalau benar, caj ini jelas mencekik sebab yang guna khidmat kaunter kebanyakan guru, golongan B40, peneroka, nelayan dan peruncit.
“Sehelai cek sudah lama kena caj. Untung bank berbilion ringgit. Mari bantah,” katanya menerusi ciapan yang dimuat naik dalam akaun Twitternya kelmarin.
Isu caj perkhidmatan di kaunter dan CDM tular baru-baru ini dalam media sosial apabila pengguna menzahirkan rasa tidak puas hati apabila perlu membayar RM2 atau 50 sen bagi setiap transaksi pembayaran bil kad kredit. – UTUSAN ONLINE