PHNOM PENH – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahahtir Mohamad hari ini menyelar beberapa kuasa besar dunia kerana mengenakan sekatan terhadap negara-negara kecil di rantau ini.
Beliau berkata, sekatan itu bukan hanya menyakiti negara terbabit malahan negara lain juga tanpa sebarang sebab.
“Kita tiada perbalahan dengan negara ini tetapi kita berhenti menjalankan perniagaan dengan negara berkenaan kerana sekatan itu. Ini sangat tidak adil.
“Sebagai negara kecil, kita tidak boleh melakukan sekatan terhadap sesiapa namun kuasa besarlah yang mengenakan sekatan dan ini menyekat kebebasan negara-negara kecil.
“Walaupun mereka terus bercakap tentang hak asasi manusia, mereka menyekat kebebasan kita untuk berdagang dengan rakan niaga kita sendiri,” katanya pada sidang akhbar bersama di Pejabat Perdana Menteri, Istana Keamanan di sini hari ini.
Mahathir berkata. beliau akan membawa isu ini ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) yang akan diadakan pada 17 hingga 30 September ini.
“Ini merupakan platform berbaik bagi kita untuk menyuarakan isu ini,” katanya.
Terdahulu, Mahathir yang sedang dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Kemboja bermula Isnin mengadakan perbincangan dua hala dengan rakan sejawatannya Hun Sen.
Mahathir berkata, Malaysia dan Kemboja bersetuju agar lautan di rantau ini harus bebas untuk pelayaran tanpa sekatan.
“Sekatan akan hanya menjejaskan pembangunan negara yang mempunyai sempadan di laut,” katanya.