IPOH – Serangan bertubi-tubi ke atas kerjasama antara UMNO dan PAS menyebabkan munculnya dua fenomena yang sangat serius sedang dihadapi orang Melayu dan Islam di negara ini.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, serangan bertahun lamanya oleh kumpulan sekularis, chauvinis dan liberal sehingga kini menyebabkan wujudnya dua fenomena berkenaan iaitu Melayufobia dan Islamophobia.
“Melayufobia berkait dengan usaha ke atas segala hal ehwal dan perbincangan tentang nasib serta masa depan bangsa dianggap sebagai rasis. UMNO, PAS dan beberapa gerakan NGO (badan bukan kerajaan) menjadi mangsa serangan ini.
“Naratif orang Melayu sebagai bangsa terawal yang mendiami negara dipertikaikan; peruntukan hak-hak keistimewaan diperdebatkan; kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai institusi pemerintahan dipersoalkan dan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan diperlekehkan,” katanya dalam status yang dimuat naik di Facebook miliknya hari ini.
Menurut Zambry, mereka juga melakukan serangan secara simbiotik iaitu dengan menghalakan kepada UMNO dan PAS yang menjadi parti orang Melayu dan Bumiputera.
“Mereka tahu ia tidak boleh secara langsung menyerang orang Melayu tetapi dengan menyerang parti orang Melayu (UMNO 3 juta ahli dan PAS hampir 1 juta) ini seperti ‘pukul anak, sindir menantu’, maka orang Melayu tidak begitu terasa.
“Islamophobia yang selama ini dicanangkan di barat turut dipalu-gendang dengan begitu rancak sekali selepas PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14) seperti biasa apa yang kita dengar dan lihat ialah semuanya dikaitkan dengan UMNO dan PAS, yang kononnya memberi gambaran menakutkan terhadap Islam,” katanya.
Zambry yang juga bekas Menteri Besar Perak berkata, rakyat hari ini sudah lebih terbuka dan pintar membaca antara propaganda dan kebenaran yang mana mereka akan lebih berusaha mencari kebenaran di sebalik serangan bertubi-tubi terus dibuat ke atas usaha ta’awun UMNO-PAS.
“Orang seperti Lim Kit Siang (Penasihat DAP) dan sepemikiran dengannya akan terus melancarkan serangan propaganda terhadap usaha ta’awun UMNO-PAS ini sehingga pilihanraya akan datang.
“Namun UMNO-PAS perlu membuktikan bahawa kerjasama yang dibina ini merangkumi sekalian rakyat, merentasi etnik dan agama selain perlu membuktikan bahawa politik mereka adalah politik kesederhanaan, berimbang di tengah titik timbang, berkebajikan, wasatiyyah, hadari dan demokratik,” katanya.
Katanya, tanggal 14 September ini akan terakam sejarah kerjasama dan perpaduan ummah dua parti terbesar Melayu-Islam yang sekaligus membina landskap politik baharu merangkumi muafakat nasional pelbagai kaum atas falsafah, nilai dan etos politik baharu.
“Oleh itu jauhi prejudis kaum dan agama. Perpaduan ummah UMNO-PAS atas nama ta’awun adalah ikhtiar untuk membina Malaysia yang aman, makmur, inklusif, progresif, serta bertoleransi dengan menerima hakikat sejarah dan konteks Malaysia,” katanya. – Sinar Harian