SUNGAI PETANI – Sepasang suami isteri maut manakala anak lelaki mereka parah dalam kejadian langgar lari membabitkan sebuah motosikal dan lori di Kilometer 99.3 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.50 malam itu, mangsa, Jamaludin Musa, 51, dan isterinya, Rapidah Ahmad, 46, maut di tempat kejadian akibat digilis kenderaan berat tersebut.
Jamaludin dan Rapidah masing-masing cedera parah pada kepala dan perut.
Anak mereka, Muhammad A’tiqullah, 9, yang merupakan pelajar Sekolah Kebangsaan Langgar, Alor Setar dekat sini mengalami kecederaan dalaman kepala selain patah kedua-dua belah tangan.
Difahamkan, tiga beranak itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Pekan Langgar, Alor Setar selepas menziarahi sepupu Jamaludin yang meninggal dunia di Sungai Petani.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kemalangan berlaku di kawasan susur keluar ke Plaza Tol Sungai Petani Utara.
“Kejadian dipercayai berlaku apabila penunggang motosikal jenis Yamaha 135LC secara tiba-tiba menukar laluan dari lorong susur kiri ke lorong kiri menyebabkan lori gagal mengelak lalu melanggar motosikal tersebut.
“Penunggang motosikal dan isterinya kemudian digilis kenderaan berat itu sebelum meninggal dunia di tempat kejadian manakala anak mereka cedera parah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kata beliau, kanak-kanak lelaki itu kini dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar manakala mayat ibu bapanya dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini untuk dibedah siasat.
Tambahnya, pihaknya sedang mengesan pemandu lori yang melarikan diri sejurus kejadian.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.